Tubuhkan sekolah kesenian Sudirman Haji Arshad - Aznil Nawawi
Saharudin Musthafa
Februari 21, 2019 08:30 MYT
Februari 21, 2019 08:30 MYT
PENUBUHAN sebuah sekolah atau kolej seni mahupun fakulti Datuk Sudirman Haji Arshad harus dilihat dari perspektif yang serius kerana usaha berkenaan akan meningkatkan lagi martabat kesenian tanah air.
Menyifatkan inisiatif itu penting untuk menentukan arah tuju industri hiburan negara, personaliti terkenal, Datuk Aznil Nawawi berkata, kisah kejayaan yang dicapai Allahyarham Sudirman harus juga diketengahkan falsafah akademik dan jangan melihatnya dari aspek hiburan semata-mata.
Justeru, penubuhan sama ada sekolah, kolej seni atau fakulti kesenian Sudirman, kata Aznil, akan menjadi rujukan paling utama bagi pembuat dasar, ahli akademik, masyarakat dan peminat setia penghibur kesayangan negara itu dalam mencari pemahaman sebenar industri hiburan.
“Tubuhkan universiti atau sekolah persembahan Sudirman. Itulah yang besar dan abadi. Semua yang lahir (dari universiti atau sekolah Sudirman) akan berterusan.
"Kalau dikaji dan dilihat dalam diri Sudirman atau Allahyarham Tan Sri P. Ramlee itulah perjalanan seni kita, (lihat) pada filem dan lagu persembahan mereka, itulah warna kita.
“Sudirman harus jadi rujukan. Percayalah rakyat dari negara lain juga akan dan mahu belajar cara beliau (Sudirman) jadi hebat dan bagus.
"Mungkin di negara mereka tidak ada seperti Sudirman,” kata Aznil ketika ditemui pada majlis pelancaran buku Sudirman Yang Ku Kenali tulisan wartawan Saodah Ismail di Kuala Lumpur pada Rabu.
Menjelas lanjut idea penubuhan sekolah kesenian penghibur rakyat yang disayangi ramai itu, Aznil berkata, Allahyarham Sudirman bukan sahaja seorang anak seni yang memiliki nama besar dalam industri hiburan tanah air.
Bahkan, apa yang lebih penting, kata Aznil, seniman itu dikurniakan otak yang sangat geliga serta mempunyai falsafah seni yang harus dikaji oleh generasi hari ini.
“Kalau buat satu fakulti misalnya, kita oleh belajar disiplin seni Allahyarham. Demikian juga dari segi imej, falsafah seninya, pengisian lagu, kehebatan pengucapan awamnya, cara pemasaran ‘dirinya’ sebagai anak seni.
“Itu belum dibincangkan soal semangat patriotik Allahyarham bukan sahaja pada peribadinya bahkan bagaimana seriusnya beliau merakamkan lagu-lagu patriotik, lagu-lagu rakyat,” kata Aznil, yang digambarkan sebilangan besar pihak memiliki keperibadian seperti Allahyarham Sudirman.
Dan apabila ditanya apakah beliau sedia mengetuai sekolah atau fakulti kesenian Sudirman, Aznil cukup berbesar hati seandainya diminta berbuat demikian.
“Saya mahu menjadi dekan bagi fakulti itu. Saya mungkin tidak pernah mengenali Allahyarham secara peribadi, tetapi saya akan membawa semangat Allahyarham.
"Saya hanya berkesempatan melihatnya dari jauh dan saya dapat lihat etika dan pemahaman mengenai persembahan Allahyarham bukan kerana hobi.
"Sebaliknya, Allahyarham menjadikan kerjaya seni sebagai kerja profesional, kerja sepenuh masa,” ujar Aznil lagi.
Sudirman merupakan seorang seniman berjiwa besar yang pernah dilahirkan oleh industri hiburan tanah air.
Allahyarham mula dikenali ramai selepas menjuarai pertandingan nyanyian Bintang RTM pada 1976 sebelum mendaki tangga-tangga kejayaan dari dalam dan luar negara.
Anak kelahiran Temerloh, Pahang ini sangat disenangi dan diminati oleh segenap lapisan masyarakat kerana Allahyarham sentiasa menghormati peminat-peminatnya.
Sepanjang bergelar anak seni, Allahyarham Sudirman banyak merakamkam lagu irama balada, joget serta lagu-lagu rakyat menyebabkan beliau diangkat sebagai pengibur rakyat.
Kejayaan paling kemuncak yang pernah diraih Sudirman ialah apabila ditabalkan sebagai Penghibur Terbaik Asia di Asian Popular Music Awards pada 1989.
Acara ini diadakan di Royal Albert Hall, London dan Allahyarham menewaskan nama-nama besar dalam industri muzik Asia ketika itu seperti Anita Sarawak dari Singapura, Leslie Cheung (Hong Kong), Kuh Ledesma (Filipina) selain bintang-bintang terkemuka dari China, Taiwan, Jepun, Korea Selatan dan Thailand.
Sudirman menghembuskan nafas terakhir pada 22 Februari 1992 pada usia 37 tahun akibat penyakit radang paru-paru.
#akademik
#Aznil Nawawi
#fakulti
#fakulti kesenian
#hiburan
#industri hiburan
#kolej seni
#P Ramlee
#penghibur
#Royal Albert Hall
#sekolah
#sekolah seni
#Sudirman Haji Arshad