Tubuhkan jabatan khas tangani masalah tuntutan sempadan negara - Pakar
Raja Hisyam Raja Zaid
Mac 17, 2022 17:17 MYT
Mac 17, 2022 17:17 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mewujudkan satu jabatan khas yang menguruskan setiap pertikaian membabitkan sempadan negara.
Menurut Profesor Undang-Undang UiTM , Prof Datuk Rahmat Mohamad, penubuhan jabatan tersebut adalah penting bagi membolehkan pemerhatian secara jelas selain dapat menangani masalah tersebut dengan lebih cepat.
“Koordinasi sangat penting sebab saya lihat dalam banyak keadaan sebab saya juga terlibat dan berpengalaman dengan beberapa kes yang melibatkan Malaysia dan negara luar, kita tak ada koordinasi dengan betul.
“Ada masa orang ini kata lain, orang itu kata lain, orang ini buat lain, orang itu buat lain pula. Demi untuk menjaga kedaulatan negara kita mesti bekerjasama. Tidak boleh kita kata biar jabatan itu dan ini yang buat begitu sahaja,” jelasnya pada sesi forum Minda Profesor Negara bertajuk ‘Isu pampasan waris Kesultanan Sulu: Apa reaksi Malaysia?’ pagi tadi.
Malah tambahnya lagi, satu jawatankuasa khas juga peru dibentuk bagi meneliti dengan lebih mendalam terhadap tuntutan dan arahan pembayaran pampasan berjumlah RM62.59 bilion kepada waris Sultan Sulu seperti diputuskan Mahkamah Arbitrasi di Paris, Perancis baru-baru ini.
Jabatan dan jawatankuasa tersebut juga katanya perlulah diletakkan di bawah Wisma Putra bagi memudahkan urusan memandangkan mereka adalah entiti yang sentiasa berhubung kait dengan masalah antarabangsa.
Selain itu jelasnya, pengumpulan data yang lengkap dan sah juga adalah penting memandangkan banyak dokumen asal yang penting membabitkan kedaulatan negara telah hilang.
Malah katanya, sebahagian dokumen penting yang lain juga kini berada di luar negara dan tidak berada dalam simpanan negara.
“Kadang-kadang Arkib Negara hanya dapat salinan (dokumen) sahaja. Jadi saya kira ia amat penting dan kita mesti bekerjasama dalam memastikan ia dapat dilakukan. Kita perlu berhati-hati dalam masalah ini,” jelasnya lagi.
Pada 28 Februari lalu, agensi berita Sepanyol melaporkan Dr Gondoza Stampa yang juga penimbang tara Sepanyol, mengarahkan Malaysia membayar pampasan berjumlah AS$14.92 bilion kepada pihak yang mendakwa sebagai waris Sultan Sulu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, bagaimanapun memaklumkan keputusan ditetapkan penimbang tara berkenaan pampasan tersebut sudah dibatalkan dan tidak lagi sah dari segi undang-undang.
#AS
#Malaysia
#Paris
#Parlimen
#Perdana Menteri
#Wan Junaidi Tuanku Jaafar
#sepanyol
#Sulu
#UiTM
#undang-undang
#Wan Junaidi
#Wisma Putra