Tubuh majlis musyawarah untuk beri cadangan kepada Parlimen - Nazir Razak

Astro Awani
November 24, 2021 21:41 MYT
Nazir menjelaskan majlis musyawarah seperti itu pernah dilaksanakan sebelum ini dan kini banyak negara yang melaksanakan kaedah sedemikian untuk membuat pembaharuan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sebuah majlis musyawarah sementara perlu ditubuhkan bagi memberi cadangan kepada Parlimen dalam usaha memakmurkan dan memasyhurkan negara.
Bekas Pengerusi Kumpulan CIMB, Tan Sri Nazir Razak menjelaskan anggota majlis musyawarah itu akan memikirkan rancangan yang terbaik untuk dicadangkan kepada Parlimen.
Nazir yang juga Pengerusi Ikhlas Capital, menjelaskan keanggotaan majlis tersebut boleh dipilih dalam kalangan tokoh, profesional dan masyarakat awam.
"Yang pentingnya orang yang ada di dalam majlis musyawarah ini bukan orang politik. Mereka akan memikirkan apa yang terbaik untuk negara dengan keseluruhannya.
"Mereka ini tidak mempunyai apa-apa kuasa, sebaliknya mereka perlu memikir dan memberikan cadangan kepada Parlimen," katanya ketika ditemu bual Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar pada program ‘Bersama Nazir Razak’ di portal Sinar Harian, hari ini.
Nazir turut memaklumkan pada 12 Oktober lalu, beliau bersama 55 individu telah mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung perkara berkenaan.
Beliau menjelaskan majlis musyawarah seperti itu pernah dilaksanakan sebelum ini dan kini banyak negara yang melaksanakan kaedah sedemikian untuk membuat pembaharuan.
"Sebelum ini kita pernah ada majlis seperti ini, kita pernah buat dulu seperti ini pada 1970, dan kita tengok laporan yang mengatakan di seluruh dunia ada 289 majlis seperti ini di Chile, di Brazil, di Belgium...
"Jadi banyak negara yang mengikut kaedah ini untuk membuat pembaharuan," katanya lagi.
Nazir menjelaskan beliau bimbang sekiranya tidak ada usaha menetapkan semula Malaysia, negara ini akan terus dibelenggu dengan politik yang tidak stabil yang akan membuatkan pertumbuhan ekonomi hambar dan masalah sosial meruncing.
#Nazir Razak #Majlis Musyawarah #Reset Malaysia #stabilkan ekonomi
;