Tuanku Zara Salim berkenan rasmi sambutan 25 tahun UPSI
Abd Razak Mohd Ali
Mei 24, 2022 18:55 MYT
Mei 24, 2022 18:55 MYT
TANJUNG MALIM: Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke sambutan permasyhuran 25 tahun Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan majlis Hari RFaya Aidilfitri di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah di sini, hari ini.
Baginda yang juga Canselor UPSI turut melancarkan siri nombor pendaftaran kenderaan UG yang bermaksud Universiti Guru.
Pelancaran nombor pendaftaran kenderaan itu akan membantu penjanaan universiti dengan lebih mampan di bawah UPSI Holding Sdn Bhd.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Md Amin Md Taff berkata, UPSI mensasarkan untuk muncul sebagai 100 universiti cemerlang di dunia dalam bidang pendidikan.
Dalam masa sama, katanya, UPSI mahu merapatkan hubungan dengan komuniti melalui pelbagai program usahasama pendidikan, pemantapan ekonomi, kesukarelawanan dan pembangunan, selaras hasrat memasyarakatkan universiti.
“Tahun ini genaplah 25 tahun penubuhan universiti yang ulung lagi bersejarah ini. Tanggal keramat 1 Mei 1997, Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) dinaik taraf menjadi Universiti Pendidikan Sultan Idris pada 1 Mei 1997,” katanya dalam sembah ucapan.
Beliau berkata, UPSI kini ditunjangi sembilan fakulti dan Institut Pengajian Siswazah (IPS) yang menawarkan lebih 150 program pengajian pra dan pasca siswazah, selaras dengan perkembangan dan keperluan pendidikan pengajian tinggi negara.
Menurutnya, sejak ditubuhkan, banyak kejayaan dicapai UPSI termasuk menubuhkan Pusat Penyelidikan Data Kanak-Kanak Negara (NCDRC), Muzium Pendidikan Nasional dan Adventure Leadership & Outdoor Leadership Academy (AURORA).
Tidak ketinggalan, university itu turut mengasaskan UPSI Adventure Park (UAP), Sekolah Pondok Bitara, Center of Pedagogical Research & Innovation (CPRI), Zaaba Studio dan Pusat Pendidikan Hijau yang menjadi rujukan utama di dalam dan di luar negara.
“Malah UPSI amat berbangga apabila diamanahkan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) baru-baru ini untuk menubuhkan Pusat Penyelidikan Keluarga Malaysia dan Pusat Pendidikan dan Penyelidikan Automotif Negara (CAART) di universiti ini,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, UPSI akan bersama Proton – Geely, DRB Hicom dan industri setempat yang diharapkan dapat membantu industri automotif negara, di samping memacu kemajuan ekonomi di Daerah Muallim.
Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam ucapannya berkata, pendidik lepasan UPSI telah melakar pelbagai kejayaan sepanjang 25 tahun penubuhannya.
“Saya ingin melihat kerjasama UPSI dengan kerajaan negeri Perak sentiasa diperkukuhkan dalam memartabatkan bidang pendidikan anak-anak Perak, termasuk anak Orang Asli dengan kerjasama Northern Corridor Economic Region (NCER),” kata Saarani.