Tuanku Muhriz, Tuanku Aishah Rohani, berkenan jalani Istiadat Bersiram di Istana Besar Seri Menanti
Shuhada Abdul Kadir
November 18, 2023 14:30 MYT
November 18, 2023 14:30 MYT
KUALA PILAH: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud menjalani Istiadat Bersiram di Istana Besar Seri Menanti di sini, hari ini.
Istiadat yang dijalankan dengan penuh beradat itu diadakan sempena Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Menghadap dan Menjunjung Duli yang berlangsung sejak semalam sehingga Ahad ini.
Baginda berdua berangkat ke istiadat itu pada jam 10 pagi menuju ke Panca Persada dengan menaiki Takhta Rencana yang ditarik oleh Pegawai 99 sejauh kira-kira 300 meter dari Istana Besar Seri Menanti.
Perarakan itu diiringi Yang Amat Mulia Putera Yang Empat, Yang Mulia Anak Raja Bergelar, Kerabat Diraja, Datuk Penghulu Luak, Datuk Adat Istana, Lembaga Luak dan Pegawai 99 yang membawa Alat Kebesaran Diraja serta Cepu Bedak Limau.
Penyelia Adat Istiadat Istana Besar Seri Menanti, Tunku Datuk Mahmood Fawzy Tunku Muhiyiddin berkata, berbeza dengan istiadat hari pertama yang dijalankan dengan penuh beradat, istiadat hari kedua dilakukan dengan kehadiran rakyat jelata.
Beliau berkata, istimewanya Istiadat Bersiram adalah kerana ia hanya dilakukan pada tiga istiadat tertentu.
“Istiadat Bersiram ini sebenarnya hanya berlaku tiga kali sahaja iaitu ketika Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ditabalkan, pada Istiadat Penghulu Luak Menghadap dan juga majlis perkahwinan anak-anak baginda.
“Jadi acara ini memang istimewa kerana bukan boleh disaksikan selalu dan hanya tiga tahun sekali ketika berlangsung Istiadat Penghulu Luak Menghadap seperti ini,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Istiadat Bersiram sempena Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Menghadap dan Menjunjung Duli di Istana Besar Seri Menanti, di sini pada Sabtu.
Hadir sama pada istiadat itu ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan barisan Exco kerajaan negeri.
Sementara itu, pada istiadat itu Luak Jempol diketuai oleh Datuk Lela Putra Setiawan dan Luak Terachi diketuai oleh Datuk Anjah Pahlawan.
Manakala, Luak Gunung Pasir diketuai oleh Datuk Orang Kaya Mempasir Setiawan dan Luak Ineh diketuai oleh Datuk Pahlawan Lela Perkasa Walad Kuala Dioh.
Terdahulu, pada Istiadat Bersiram itu Tuanku Muhriz dan Tuanku Aisyah Rohani mencelupkan kedua belah tangan ke dalam Cepu Bedak Limau sebagai simbolik istiadat berkenaan.
Serentak dengan itu, pertunjukan pencak silat, persembahan caklempong dengan lagu ‘Raja Bersiram’ serta tarian piring diadakan sebelum baginda berdua berangkat pulang ke istana.
Keberangkatan pulang baginda dimulakan dengan paluan rebana, dikuti lapan das tembakan meriam mengikut perkiraan yang ditentukan sehingga Takhta Rencana membawa baginda berdua tiba ke Istana Besar Seri Menanti.
Istiadat Ulangan Penghulu Luak Tanah Mengandung Menghadap dan Menjunjung Duli berlangsung selama tiga hari dan istiadat hari pertama dimulakan semalam dengan Istiadat Menurun dan Memasang Alat Kebesaran.
Istiadat yang dizahirkan kembali selepas kali terakhir diadakan pada tahun 2019 lalu diteruskan dengan Istiadat Bersiram sebelum acara kemuncak istiadat dijalankan pada esok.