Tuanku Muhriz saksi perbarisan Hari Kebangsaan di Negeri Sembilan

Sinar Harian
Ogos 31, 2024 13:00 MYT
Dianggarkan lebih 20,000 pengunjung hadir memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan di Padang MBS pada Sabtu. -Sinar Harian
SEREMBAN: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir serta Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud berangkat mencemar duli pada majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2024 peringkat Negeri Sembilan pada Sabtu.

Ringkasan AI
  • Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan menghadiri majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Negeri Sembilan, disambut oleh Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri.
  • Lebih 80 kontinjen dengan 5,000 peserta dari pelbagai jabatan, agensi kerajaan, NGO, sekolah, dan syarikat swasta terlibat dalam perbarisan di Padang Majlis Bandaraya Seremban.
  • Acara termasuk Istiadat Kawalan Kehormatan Utama, perarakan aset artileri dan agensi kerajaan, serta persembahan khas oleh artis tempatan. Lebih 20,000 pengunjung hadir memeriahkan sambutan.

Keberangkatan baginda disambut oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim.
Selain itu, turut hadir Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan Datuk Shahbandar Sungei Ujong.
Pada perbarisan sambutan berkenaan yang diadakan di Padang Majlis Bandaraya Seremban(MBS) di sini, lebih 80 kontinjen merangkumi 5,000 peserta yang terlibat.
Ia terdiri daripada jabatan dan agensi kerajaan, badan berkanun, pentadbiran daerah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekolah, institut pengajian tinggi serta syarikat swasta.
Istiadat Kawalan Kehormatan Utama(KKU) terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota dari Batalion Ke-15 Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejar Muhammad Hazim Abdul Ghalib manakala Pegawai Panji-Panji ialah Leftenan Muhammad Khaliq Nasrudin dan Sarjan Mejar Rejimen ialah Pegawai Waran 1, Bilal Harun.
KKU diiringi oleh Pancaragam Gabungan Batalion Ke-14 Rejimen Askar Melayu Diraja dan Batalion Ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja yang dipimpin oleh Drum Major, Mohd Saiful Mohd Haniff.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun mengetuai bacaan ikrar Rukun Negara manakala doa dibacakan oleh Mufti Negeri Sembilan, Prof Madya Datuk Dr Faudzinaim Badaruddin.
Perarakan turut menyaksikan aset artileri dan Kontinjen Tempur Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, aset Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, aset Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta beberapa aset jabatan dan agensi kerajaan yang lain.
Turut mencuri tumpuan dalam perarakan adalah Kelab Kereta Klasik dan Antik Negeri Sembilan serta Kelab Basikal Tuo Soghomban.
Persembahan khas turut ditampilkan melibatkan artis Farhan Azizan, Suki Low dan kumpulan kebudayaan yang diselaraskan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan (JKKNNS).
Dianggarkan lebih 20,000 pengunjung yang hadir memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan kali ini. -Sinar Harian
#Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan #Hari Kebangsaan #Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir #Aminuddin Harun