Tuanku Muhriz nasihat rakyat Negeri Sembilan rai Aidilfitri secara sederhana

Bernama
Mei 7, 2021 10:27 MYT
Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bertitah supaya rakyat negeri ini meraikan sambutan Aidilfitri secara sederhana berikutan suasana ekonomi negara yang tidak menentu ketika ini. -Portal Rasmi Kerajaan Negeri Sembilan
SEREMBAN: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bertitah supaya rakyat negeri ini meraikan sambutan Aidilfitri secara sederhana berikutan suasana ekonomi negara yang tidak menentu ketika ini.
Titah Tuanku Muhriz kesan penularan wabak COVID-19 telah mengurangkan kegiatan ekonomi yang menjejaskan sumber pendapatan, maka sambutan Hari Raya pada tahun ini seharusnya diraikan tanpa perbelanjaan besar atau mewah.
"Beta juga mengingatkan semua rakyat jangan sesekali mengabaikan penjarakan fizikal dan sentiasa memakai pelitup muka ketika berada di luar rumah.
"Semua ini adalah amat penting untuk diamalkan kerana inilah cara kita dapat mengelakkan jangkitan dan memutuskan rantaian wabak itu," titah baginda dalam perutusan sempena Aidilftri di sini hari ini.
Dalam pada itu, Tuanku Muhriz turut menyeru semua rakyat agar segera mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 bagi memastikan semua masyarakat mendapat perlindungan.
Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan kerajaan negeri termasuk petugas kesihatan, pasukan keselamatan dan semua rakyat negeri ini dalam memerangi COVID-19 terutama mereka yang perlu bertugas ketika Aidilfitri nanti.
Baginda dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud serta keluarga turut mendoakan seluruh rakyat Negeri Sembilan agar sentiasa berada di bawah perlindungan Allah S.W.T dan terus kekal aman makmur serta dijauhi daripada sebarang musibah dan bencana.
-- BERNAMA
#Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir #Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan #sambut Aidilfitri secara sederhana #ekonomi negara yang tidak menentu #COVID-19 #petugas kesihatan #vaksin
;