Berucap pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat Negeri Sembilan Tahun 1446H/2024M, baginda menegaskan perbuatan itu adalah contoh perkara yang tidak seharusnya timbul dan ditonjolkan oleh umat Islam.
“Sebaliknya, adalah menjadi satu tanggungjawab dan amanah kepada semua umat Islam untuk menunjukkan nilai-nilai Islam sebenar dalam amalan kehidupan seharian seperti keikhlasan, kejujuran, amanah, keadilan, perpaduan dan persaudaraan, kesederhanaan serta hormat-menghormati,” titah baginda pada acara yang berlangsung di padang Majlis Bandaraya Seremban di sini hari ini.
Tuanku Muhriz bertitah, sambutan Maulidur Rasul merupakan satu bentuk penghormatan dan penghayatan terhadap kehidupan, ajaran dan kepimpinan Nabi Muhammad SAW dalam menyebarkan risalah Islam.
“Islam tidak berbicara tentang dimensi akhirat semata-mata, malah turut membincangkan persoalan keduniaan yang memacu manusia ke arah kebaikan, sekali gus menjadikan Islam sebagai agama rahmat untuk sekalian alam.
“Islam juga adalah ad-din yang mementingkan perpaduan dan hubungan baik sesama manusia,” titah baginda.
Justeru, Tuanku Muhriz mengingatkan semua pemimpin dan segenap rakyat yang beragama Islam di negeri ini agar terus berganding bahu untuk memperkukuh perpaduan dan persaudaraan serta mengamalkan sikap tolong-menolong dan hormat-menghormati dengan kaum dan penganut agama lain.
“Jika kita menolong orang, mereka akan menolong kita. Jika kita menghormati orang, mereka juga akan menghormati kita,” titah baginda.