Tuanku Muhriz berkenan sempurnakan pembukaan Persidangan WONCA Asia Pasifik

Madiha Abdullah
November 10, 2021 21:03 MYT
Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menyempurnakan pembukaan Persidangan WONCA, 13 November ini. - Gambar/ Portal Rasmi Kerajaan Negeri Sembilan
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menyempurnakan pembukaan Persidangan Doktor Keluarga Sedunia (WONCA) peringkat Asia Pasifik, 13 November ini.
Akademi Kedoktoran Keluarga Malaysia (AKKM), yang merupakan satu daripada 18 organisasi yang membentuk WONCA, diberikan penghormatan untuk menganjurkan persidangan secara maya selama sehari itu.
Lebih membanggakan, lima doktor tempatan yang memegang keahlian AKKM juga dipilih untuk diberi beberapa penghormatan tertinggi peringkat Asia Pasifik.
Selain Prof Madya Dr Mohammad Husni Jamal yang memikul peranan sebagai Presiden WONCA Asia Pasifik, turut menerima penghargaan ialah Dr S. Kaviayarasan yang dicalonkan sebagai Setiausaha Kehormat dan Dr Wong Ping Foo sebagai Pengerusi The Rajakumar Movement.
Dua lagi anggota, Prof Datuk Dr Sheikh Amin terpilih memenangi anugerah WONCA Asia Pacific 5 Star Doctor 2021 dan Dr Noor Hazan Harun memenangi anugerah The Rajakumar Movement Rising Star Award 2021.
"Tuanku Muhriz memegang peranan sebagai penaung AKKM sejak tahun lalu. Baginda sangat passionate berkenaan misi dan prinsip akademi, dan kami merasa sangat terhormat apabila baginda berkenan untuk menyampaikan titah pembukaan Sabtu ini.
"Bersama Tuanku Muhriz, kami sependapat untuk memperkembangkan lagi agenda dan misi WONCA kepada masyarakat awam di negara ini.
"Konsep family doctor ini sudah lama wujud di negara ini tetapi sayangnya masih ramai yang tidak sedar, jadi kami harap persidangan ini akan memberi lebih pendedahan kepada orang ramai," kata Dr Mohammad Husni kepada Astro AWANI.
WONCA merupakan organisasi profesional global yang mewakili doktor keluarga dan pengamal perubatan am dari seluruh dunia.
Doktor keluarga merupakan pendekatan dalam usaha bagi membolehkan pakar perubatan menyediakan penduduk dengan perkhidmatan yang komprehensif, berterusan, kolaboratif dan berorientasikan komuniti.
Selain itu, persidangan berkenaan juga akan memfokuskan kepada isu semasa seperti COVID-19 serta kerjasama antara negara dalam perjuangan melawan pandemik.
Persidangan peringkat global akan berlangsung secara maya pada 22 sehingga 27 November depan, dengan Abu Dhabi, UAE sebagai tuan rumah.
#Tuanku Muhriz Tuanku Munawir #WONCA #Akademi Kedoktoran Keluarga Malaysia #AKKM
;