Tuanku Muhriz berkenan berangkat ke Majlis Santapan Sempena Istiadat Kerjan ke-15

Bernama
Mac 27, 2017 23:08 MYT
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir (kanan) berkenan beramah mesra dengan Undang Luak Johol Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Muhammed Abdullah (kiri) hari ini. - Foto Bernama
Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan berangkat ke Majlis Santapan Bersama Undang Luak Johol di Johol dekat sini, sempena Istiadat Kerjan ke-15 di sini, malam ini.
Turut berangkat ialah isteri baginda, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud dan kedua-dua putera baginda Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al-'Abidin.
Keberangkatan tiba baginda diiringi Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin.
Hadir sama Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin, Ahli Parlimen Kuala Pilah Datuk Hassan Malek dan barisan exco kerajaan negeri.
Terdahulu, Tuanku Muhriz bersama isteri, kedua-dua putera baginda dan Undang Luak Johol Datuk Muhammed Abdullah, diarak menaiki pedati menuju ke majlis santapan berkenaan.
Kira-kira 1,000 tetamu hadir termasuk penduduk Johol, yang turut sama meraikan pelantikan Muhammed sebagai Undang Luak Johol ke-15.
Majlis santapan itu menandakan berakhirnya Istiadat Kerjan yang disambut selama lima hari lima malam bermula Khamis lepas. -- Bernama
#johol #Majlis Santapan #Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir #Undang #Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan
;