Tuanku Muhriz bangga N. Sembilan catat pelaburan RM5.8 bilion tahun lepas

Bernama
April 18, 2022 14:13 MYT
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir ( duduk tiga, kiri) ketika bertitah merasmikan Persidangan Pertama Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, ke-14, hari ini. - Foto BERNAMA
SEREMBAN: Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir menzahirkan rasa bangga atas kejayaan kerajaan negeri mencatatkan pelaburan RM5.8 bilion pada tahun lepas di sebalik krisis pandemik COVID-19.
Tuanku Muhriz bertitah kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun telah memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi agenda utama kerajaan dan pencapaian itu juga melebihi sasaran RM5 bilion ditetapkan termasuk 3,000 peluang pekerjaan dapat ditawarkan.
"Justeru, inisiatif baharu dan aktiviti tambah nilai menerusi penggunaan automasi dan teknologi untuk memajukan sektor perladangan, komoditi, pekebun kecil, pertanian dan industri makanan perlu dipercepatkan pelaksanaannya.
"Sektor ini sangat berpotensi untuk penciptaan sumber kekayaan baharu di samping berupaya menjamin sekuriti dan nutrisi makanan negeri dan negara," titah baginda dalam ucapan Istiadat Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Ke-14 di sini hari ini.
Istiadat perasmian yang dihadiri 34 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu mempraktikkan penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka.
Baginda bertitah kerajaan persekutuan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) perlu memainkan peranan untuk membantu petani, penternak dan peladang dari segi penambahbaikan infrastruktur.
Tuanku Muhriz berkata MAFI juga perlu mengawal harga input pertanian dan penternakan serta mempergiat penggunaan jentera moden untuk meningkatkan hasil pengeluaran.
"Negara menanggung kos mengimport makanan sehingga RM63.6 bilion pada tahun lepas perlu diteliti dalam pelbagai aspek, tidak seharusnya menyalahkan dasar kerajaan negeri semata-mata," titah baginda.
Baginda bertitah kerajaan negeri sentiasa memberikan kerjasama dengan semua pihak termasuk menyediakan tanah untuk dimajukan sebagai kawasan pertanian demi meningkatkan bukan sahaja taraf hidup rakyat, tetapi juga bekalan sumber makanan.
Baginda turut menekankan kerajaan negeri perlu memfokuskan usaha dalam peningkatan daya saing negeri ini sebagai destinasi pelaburan pilihan dengan menambah baik ekosistem serta persekitaran perniagaan.
Titah baginda, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memastikan kawasan perindustrian sentiasa diselenggara dan berada dalam keadaan kondusif bagi memenuhi keperluan operasi sesebuah perusahaan.
Selain itu, persekitaraan mesra digital serta penggunaan automasi dan teknologi tinggi boleh menjadi tarikan kepada pelabur untuk beralih daripada industri berintensifkan buruh kos rendah kepada industri berteknologi tinggi dan seterusnya berupaya mengurangkan penggunaan tenaga buruh asing.
Tuanku Muhriz turut menzahirkan rasa bangga menerusi kejayaan negeri itu menjadi antara tiga 'Negeri Bahagia' di Malaysia apabila kesemua PBT di Negeri Sembilan mendapat markah melebihi 80 peratus hasil Kajian Indeks Kebahagiaan 2021 oleh PLAN Malaysia.
Sementara itu, Tuanku Muhriz bertitah kerajaan negeri terus komited memperkukuh ekonomi rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi negeri menerusi Rancangan Pembangunan Negeri Sembilan (RPNS) 2021- 2025 yang menjadi pelan jangka sederhana bagi pembangunan ekonomi negeri.
Titah baginda RPNS 2021-2025 menumpukan dalam bidang makroekonomi dan fiskal negeri, Keusahawanan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), modal insan, penggunaan sumber alam dan tumpuan kepada sektor bernilai tinggi.
Tuanku Muhriz berharap kerajaan negeri berusaha mengemas kini undang-undang bertulis berkaitan pemegangan tanah adat melalui penggubalan Rang Undang-Undang Pemegangan Tanah Adat 2022 yang akan dibentangkan pada persidangan DUN kali ini.
"Diharapkan dengan penggubalan Rang Undang-Undang ini, pembangunan menyeluruh akan dapat dilaksanakan terhadap tanah adat dan tanah lingkungan di negeri ini," titah baginda.
Selain itu, Tuanku Muhriz turut mengingatkan seluruh rakyat di negeri ini terutamanya beragama Islam di pelbagai peringkat dan lapisan, supaya tidak menjadikan rumah ibadat sebagai medan politik perpecahan yang merosakkan pengurusan dan pentadbiran Islam di negeri ini.
Buat pertama kali, kerajaan negeri bekerjasama dengan Persatuan Orang Pekak Negeri Sembilan (Nesda) bagi penyediaan petugas bahasa isyarat sepanjang empat hari persidangan DUN berlangsung.
-- BERNAMA
#Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan #Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir #Aminuddin Harun #DUN Negeri Sembilan
;