Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah berangkat balik ke Kedah hari ini

Bernama
Disember 11, 2016 06:40 MYT
Tuanku Abdul Halim mencipta sejarah negara apabila menjadi raja pertama yang menyandang jawatan Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali. - Gambar fail
Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah akan berangkat balik ke Kedah hari ini selepas menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14 selama lima tahun.
Keberangkatan balik baginda bersama-sama Tuanku Hajah Haminah dijadual berlangsung penuh istiadat diraja dengan bermula dari Istana Negara di sini pada 8 pagi.
Menurut buku atur cara istiadat itu, pasangan diraja berkenaan dijadual ke Dataran Parlimen di sini untuk istiadat rasmi perpisahan sebelum berangkat ke Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menaiki pesawat pulang ke Kedah.
Tuanku Abdul Halim mencipta sejarah negara apabila menjadi raja pertama yang menyandang jawatan Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali.
Kali pertama adalah sebagai Yang di-Pertuan Agong kelima pada 21 Sept 1970 sehingga 20 Sept 1975 dan kali kedua dari 13 Dis 2011 sehingga 12 Dis 2016.
Baginda digantikan oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15. -- Bernama
#Istana Negara #Raja Permaisuri #Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah #Tuanku Hajah Haminah #Yang di-Pertuan Agong
;