Tuan Nor Azlim mohon maaf atas sebaran video bayi terkunci dalam kereta

Kohilah Sekaran
Jun 1, 2015 20:10 MYT
Video orang ramai cuba menyelamatkan seorang bayi yang terperangkap dalam kereta sememangnya menjadi isu yang hangat diperkatakan oleh pengamal media sosial.
Saksi kejadian, Tuan Nor Azlim meminta maaf kepada ibu mangsa susulan sebaran video bayi terkunci dalam kereta di laman sosial melalui sebuah kenyataan Facebook, semalam.
Difahamkan, ibu mangsa pada ketika itu turut berada di lokasi kejadian untuk menyelamatkan bayinya yang terperangkap dalam kereta yang terkunci.
Terdahulu, video itu dimuat naik di laman Facebook oleh Tuan Nor Azlim yang juga merupakan salah seorang saksi yang berada di tempat kejadian.
Dalam video berdurasi dua minit itu, orang ramai dilihat cuba membuka pintu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Myvi berwarna putih yang terkunci untuk menyelamatkan seorang bayi yang terperangkap di dalamnya.
Dalam insiden itu, saksi pada mulanya menyangka bayi tersebut ditinggalkan oleh ibu bapanya dan mula mempersoalkan mengenai kecuaian ibubapa melalui akaun Facebooknya.
Kejadian ini dilaporkan berlaku di hadapan sebuah bank di Seksyen 9 di Shah Alam pada kira-kira jam 2.30 petang apabila enjin kereta tersebut dipercayai mati menyebabkan bayi tersebut terperangkap di dalam kereta bersama kunci kereta tersebut.
Menurut saksi bernama Tuan Nor Azlim yang memuat naik video berkenaan di Facebooknya, rakaman ini dibuat ketika dia terlihat kenderaan milik mangsa dikerumuni orang ramai yang cuba untuk menyelamatkan bayi berkenaan.
Enjin kenderaan itu yang tidak hidup membimbangkan lagi orang ramai akan keadaan bayi yang berada dalam kereta tersebut.
“Pecahkan, pecahkan, pecah je,” jerit seorang saksi dalam video tersebut.
Difahamkan, bayi itu mula berpeluh dan dipercayai mengalami kesukaran untuk bernafas ketika terperangkap dalam kereta tersebut.
Selepas beberapa cubaan, akhirnya orang ramai berjaya membawa keluar bayi tersebut dengan selamat.
Sejurus selepas video itu dimuat naik, pelbagai komen yang ditinggalkan oleh pengguna Facebook di bawah video tersebut.
#bayi #Facebook #Myvi #terkunci
;