Tuai rumah, JKKK ditugaskan pantau SOP rumah panjang masing-masing - Uggah
Afiezul Samit
Mac 2, 2021 20:02 MYT
Mac 2, 2021 20:02 MYT
BETONG: Tuai rumah dan anggota Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) di sembilan buah rumah panjang di Betong yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kini ditugaskan untuk memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di kawasan masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, setiap tuai rumah dan anggota JKKK akan diberi penerangan mengenai tanggungjawab mereka oleh pegawai pejabat daerah.
Jelas Uggah, sistem itu pada dasarnya bertujuan untuk meningkatkan disiplin diri penduduk rumah panjang ketika dalam tempoh kuarantin.
"Penerangan dan pemantauan daripada tuai rumah mampu menyekat penularan COVID-19 di rumah panjang," katanya ketika mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Betong pada Selasa.
Sementara itu, Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak juga berpuas hati dengan persiapan yang dibuat JPBB Betong dalam menangani situasi pandemik.
"Jawatankuasa ini sedang dalam proses menubuhkan dua Pusat Rawatan dan Kuarantin Berisiko Rendah (PKRC) untuk mengendali segala kemungkinan," katanya.
Uggah juga menyeru jabatan-jabatan yang berkaitan untuk melakukan yang terbaik dalam meyakinkan penduduk mengambil vaksin.
Menurutnya, setakat ini lebih 30,000 dari 122,371 penduduk di bahagian itu telah mendaftar dan bersetuju menerima vaksin.
Manakala 615 orang memutuskan untuk tidak mengambil vaksin dipercayai dipengaruhi berita palsu di media sosial.
#tuai rumah
#Rumah panjang
#Douglas Uggah Embas
#JPBN Sarawak
#SOP
#perintah kawalan pergerakan
#PKPD