Tuai rumah berdepan kompaun jika gagal kuat kuasa SOP di rumah panjang
Nuzuluddin Abdul Razak
Julai 25, 2021 13:53 MYT
Julai 25, 2021 13:53 MYT
KUCHING: Pemimpin masyarakat yang gagal untuk memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 di kawasan rumah panjang bakal berdepan risiko dikenakan kompaun.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata kompaun itu boleh dikeluarkan oleh pihak berkuasa berkenaan.
"Tindakan ini wajar bagi memastikan semua penghuni di rumah panjang tahu akan tanggungjawab mereka.
Pematuhan kepada SOP ini sangat penting untuk mengelak berlakunya penularan baharu dan ia perlu dipertingkatkan susulan kehadiran varian Delta yang lebih mudah berjangkit dan berbahaya di negeri ini,” katanya.
Teks ucapannya dibacakan Setiausaha Politik Ketua Menteri, Dr Richard Rapu semasa merasmikan Bengkel Kepolisian Komuniti di Spaoh hari ini.
Tambahnya, pematuhan SOP perlu dipertingkatkan terutama melibatkan perhimpunan semasa upacara kematian atau mana-mana aktiviti sosial.
“Jika berlaku kematian, tuai rumah perlu memaklumkan perkara itu kepada penjabat daerah untuk memastikan langkah kawalan kepada perhimpunan berkenaan dapat dikuatkuasakan.
“Ini kerana acara seperti ini adalah salah satu sebab utama yang membolehkan virus ini tersebar dengan cepat seperti Kluster Pasai iaitu kluster yang terbesar di Sarawak,” katanya.
Terdahulu beberapa tuai rumah di beberapa kawasan telah dikenakan kompaun berjumlah RM2,000 setiap seorang atas kegagalan dan cuai dalam mengendalikan SOP COVID-19 di rumah panjang.
Untuk rekod, setakat ini 22 kluster telah dikenal pasti akibat perhimpunan upacara kematian dengan 4,466 kes positif dan 35 kematian di seluruh negeri.
#Rumah panjang
#Sarawak
#Varian Delta
#rumah panjang dikompaun
#Douglas Uggah Embas
#Pengerusi JPBN Sarawak