Tuah 'Pes Gulai Tempoyak'

Hasimi Muhamad
Julai 8, 2019 16:49 MYT
Kumpulan 'Bosskoi Resources' dianggotai NurHafizah Husna Alumuddin, Nur Aishah Atiqah Amran, Afiqah Huda Hazli dan Syed Muhamad Shahrizan Syed Zolkanain. - Astro AWANI
Kesungguhan dan kecekalan empat pelajar Kolej Komuniti Jerantut, Pahang menghasilkan produk perniagaan akhirnya membuahkan hasil apabila mereka dinobatkan sebagai juara pada pertandingan akhir ‘SME Bank 90-Days Biz Challenge 2019’, hari ini.
Mempertaruhkan produk makanan "Pes Gulai Tempoyak", kumpulan yang dianggotai empat anak muda berusia 19 tahun itu berjaya menewaskan 19 kumpulan dari kolej komuniti dan politeknik seluruh negara.
Kejayaan itu sekali gus menyaksikan kumpulan “Bosskoi Resources” itu membawa pulang wang tunai berjumlah RM20,000 beserta trofi dan piala pusingan.
Menurut ketua kumpulan itu, NurHafizah Husna Alumuddin, idea menghasilkan produk makanan tersebut tercetus berikutan permintaan tempoyak semakin tinggi.
Penghasilan produk itu juga sekali gus dapat mengelak daripada berlakunya lambakan durian dan pembaziran buah tersebut.
“(Perancangan masa depan) Kami mahu beli pengisar untuk proses lebih banyak pes dan meningkatkan keuntungan kami.
“Kami juga mahu ada kedai sendiri dan mendapatkan sijil halal bagi memudahkan urusan permintaan pelanggan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Hadiah di Sunway Hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.
Kumpulan itu turut dianggotai oleh Nur Aishah Atiqah Amran, Afiqah Huda Hazli dan Syed Muhamad Shahrizan Syed Zolkanain.
Sementara itu, pensyarah pembimbing, Norsuzilawate Zulkapli menyifatkan kemenangan tersebut sebagai bonus untuk anak didiknya mengembangkan perniagaan mereka.
“Bagi saya, ini merupakan satu amanah daripada SME Bank untuk mereka menggunakan modal yang diberikan bagi mengukuhkan dan bergerak lebih jauh dalam dunia perniagaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, penganjuran program tersebut telah membantu melahirkan usahawan-usahawan muda yang mampu mengendalikan perniagaan dengan baik dan meraih pendapatan yang konsisten.
Justeru itu, jelasnya, beberapa kriteria diambil kira dalam menentukan pemilihan pemenang dan ia telah diadili oleh panel juri yang berpengalaman luas dalam bidang keusahawanan.
“Kami pecahkan kepada empat bahagian utama iaitu persembahan projek, pemasaran, kaedah mengatasi masalah dan persembahan video.
“Jumlah yang paling banyak sebenarnya dikumpul pada bahagian persembahan projek di mana ia merangkumi aspek teknikal, pengurusan, pemasaran dan aspek kewangan,” ujarnya.
Naib juara dimenangi pelajar Kolej Komuniti Sungai Petani, Kedah manakala tempat ketiga dimenangi pelajar Kolej Komuniti Baling, Kedah.
Mereka masing-masing membawa pulang wang tunai RM15,000 dan RM10,000 beserta trofi dan sijil penyertaan.
Manakala, Anugerah Khas Juri diberikan kepada pelajar Kelainan Upaya dari Kolej Komuniti Arau, Perlis.
Pada tahun ini, sebanyak 192 penyertaan diterima dan daripada jumlah tersebut, 20 kumpulan berjaya menempatkan diri ke peringkat akhir yang berlangsung pada 6 dan 7 Julai di Sunway Hotel.
#Belia #Bosskoi Resources #ekonomi #kolej komuniti #pelajar #Pes Gulai Tempoyak #politeknik #SME Bank #SME Bank 90-Days Biz Challenge 2019 #usahawan
;