"Tsunami" COVID-19 pengaruhi perancangan ekonomi RMK-12

Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari
Mei 8, 2020 13:29 MYT
Wawasan Kemakmuran Bersama merupakan iltizam untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus membangun secara mampan. - Gambar hiasan BERNAMA
PERANCANGAN dan pembangunan ekonomi Malaysia untuk tempoh 2021 sehingga 2030 akan dipandu oleh dasar Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.
WKB adalah iltizam untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif pada semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan.
Dalam tempoh 2021-2030, matlamat dan sasaran WKB akan disokong oleh dua pelan perancangan jangka masa sederhana iaitu Rancangan Malaysia ke-12 ((RMK-12) (2021-2025) dan ke-13 (2026-2030).
Pada awalnya, pelan RMK-12 dirancang ketika mana “tsunami” COVID-19 belum melanda Malaysia dan kebanyakan negara di dunia.
Kenapa pandemik COVID-19 disamakan seperti tsunami?
Kehadirannya di Malaysia telah menyebabkan hampir keseluruhan sektor ekonomi lumpuh seketika selama satu bulan setengah.
Sektor-sektor ekonomi kini telah bangkit semula secara perlahan-lahan tetapi amalan perniagaan tidak lagi sama seperti sebelum ini.
Ekonomi beroperasi dalam konteks normal baharu. Itu belum diambil kira impak ke atas negara-negara lain yang mempengaruhi Malaysia.
Berikut saya berikan hanya empat hujah kenapa tsunami COVID-19 mempengaruhi perancangan ekonomi dalam tempoh RMK-19.
Hujah-hujah ini dihurai secara ringkas sahaja. Perincian mengenainya boleh diperolehi daripada laporan-laporan penyelidikan oleh pelbagai agensi yang boleh akses secara percuma di atas talian.
1. Pemulihan ekonomi memakan masa
Pemulihan perniagaan sesebuah syarikat tidak sama dengan pemulihan ekonomi sebuah negara.
Pemulihan ekonomi negara memakan masa tempoh yang lama bergantung kepada bentuk krisis.
Contohnya, krisis kewangan 1997/98 mengambil masa sekitar 2-3 tahun untuk dipulihkan. Tsunami COVID-19 dijangka memerlukan masa yang lebih lama untuk dipulihkan kerana ianya 'memukul' keseluruhan sektor-sektor ekonomi Malaysia dan juga keseluruhan ekonomi dunia.
Struktur ekonomi perlu dibangunkan dan diperbetulkan dan semuanya ini tidak boleh dilakukan dalam tempoh masa sehari, sebulan atau setahun.
2. Perubahan landskap ekonomi global
Malaysia adalah sebuah negara kecil, terbuka dan bergantung kepada perdagangan antarabangsa.
Lebih daripada 30 peratus KDNK negara dijana daripada aktiviti eksport. Bagi kebanyakan negara yang berdagang, impak COVID-19 berkemungkinan menyebabkan peralihan hub rantaian nilai global dan pemerkasaan pengeluaran domestik.
Jadi penumpuan eksport, arah dan struktur dagangan Malaysia sedia ada berkemungkinan besar akan terjejas.
3. Perubahan struktur pasaran buruh
Perubahan pasaran buruh adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Peningkataan penggunaan aplikasi digital contohnya mempengaruhi cara, tempat dan tempoh masa bekerja.
Ini akan mempengaruhi struktur pengeluaran industri dan perniagaan. Sejauh mana perubahan ini mempengaruhi produktiviti dan pendapatan masih belum jelas.
Sumber penjanaan pendapatan rakyat juga akan berubah yang seterusnya akan memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi melalui perubahan corak perbelanjaan.
4. Gangguan sektor-sektor utama
Sebahagian sektor-sektor utama ekonomi negara terjejas teruk dan mengambil masa lebih lama untuk dipulihkan. Contohnya sektor pelancongan.
Jika SARS mengambil masa sekitar tujuh bulan untuk sektor pelancongan dipulihkan, COVID-19 dijangka akan pulih sepenuhnya di awal 2022 bergantung juga kepada keyakinan pelancong.
Perlu diingatkan juga bahawa sektor pelancongan juga adalah salah satu penyumbang utama kepada pertumbuhan sektor pertanian, pembuatan makanan dan minuman dan perhidmatan penyediaan makanan dan minuman.
Ringkasnya, pemulihan ekonomi pasca COVID-19 memakan masa bukan sehari, sebulan atau setahun.
Struktur ekonomi sedia ada perlu dibangunkan dan diperkemaskan semula. Semuanya ini akan memakan masa di antara dua hingga tiga tahun yang pastinya akan mempengaruhi pelan pembangunan RMK-12.
Bukan itu sahaja, kemungkinan matlamat WKB juga akan tersasar jika langkah-langkah pemulihan ekonomi tidak dibuat secara tepat.
Analoginya mudah, kesakitan akibat pening kepala boleh dipulihkan dengan memakan paracetamol dan bukannya disapu dengan minyak gamat.

* Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari adalah pemegang ijazah PhD daripada University of Groningen, the Netherlands. Beliau merupakan pensyarah di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, UPM.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pandangan Universiti Putra Malaysia dan Astro AWANI.

#COVID19 #Kolumnis AWANI #pembangunan ekonomi Malaysia #pengeluaran domestik #Rancangan Malaysia #sektor ekonomi #tsunami #Wawasan Kemakmuran Bersama
;