Tsunami 2004 terus terpahat dalam ingatan Suppiah dan 'bayi ajaib'
Bernama
Disember 26, 2019 12:04 MYT
Disember 26, 2019 12:04 MYT
Hari ini, 26 Disember genap 15 tahun tsunami mengganas di beberapa negara di rantau ini dan bagi mereka yang terlibat, pasti kejadian itu masih segar dalam ingatan dan merupakan peristiwa pahit yang sentiasa dikenang di mana ratusan ribu nyawa terkorban seperti di Aceh Indonesia, Thailand, India, Sri Lanka dan Malaysia sendiri.
Di Pulau Pinang, kisah tsunami akan terus segar terpahat dalam ingatan seorang peniaga A. Suppiah dan anaknya S. Thulaasi, "bayi ajaib tsunami" yang baharu 22 hari dilahirkan semasa kejadian ombak besar itu.
Dalam peristiwa itu badai tsunami yang menghempas Pantai Miami, Batu Ferrringhi pada 2004 telah menghanyutkan seorang bayi yang sedang nyenyak tidur di atas tilamnya ke tengah laut dan apabila datang gelombang kedua pula dengan kehendak Tuhan bayi itu telah didamparkan ke pantai.
Mengimbau kembali detik itu, Suppiah, 70, berkata kisah itu (tsunami) adalah satu riwayat yang tidak akan dilupakan sehingga akhir hayatnya.
"Dalam sekelip mata, sesaat ia terjadi, keadaan sangat riuh pada masa itu dengan jeritan keluarga yang masing-masing berteriak (menangis) kerana ada ahli keluarga meninggal dunia.
"Sebenarnya sebelum kejadian itu orang ramai tengah makan ada seorang pelancong Mat Salleh tanya saya kenapa ada dua garisan putih jauh dan panjang atau gelembung datang dari laut, saya tak tahu nak jawab apa dan yang saya ingat bulan Disember adalah bulan pesta Pulau Pinang akan ada lumba perahu naga, tetapi Mat Salleh itu berkata pada saya ia bukan.
"Sesuatu tidak kena, katanya kepada saya, cuma saya nasihatkan agar jaga telefon dan kameranya.
"Selepas itu ketika jarak 50 meter, air laut naik tinggi dan semua lari dan saya juga turut lari hendak menyelamatkan anak perempuan saya yang berusia 12 tahun dan bayi saya namun tidak sempat kerana badan saya telah ditolak air dan hanya mampu berpaut pada tiang," cerita Supppiah kepada Bernama ketika ditemui di kedainya di Batu Ferrringhi, baru-baru ini.
Suppiah berkata semasa ombak tsunami itu, Thulaasi sedang tidur dalam bilik di kedainya manakala isterinya yang ketika itu sedang berpantang berada di bilik dan selepas 40 minit kejadian tsunami itu beliau berusaha mencari bayinya namun gagal menemuinya sehinggalah datang seorang lelaki Indonesia memberitahu bayinya selamat dan berada di atas tilam yang terdampar di pantai.
Kisah Thulaasi yang kemudian digelar bayi ajaib oleh media menjadi perhatian dunia.
Menyingkap kembali peristiwa hitam itu, Supppiah berkata pada mulanya beliau berasa marah dan kecewa dengan kejadian itu kerana kedai dan semua barangnya musnah dipukul ombak kuat namun selepas dua hari kejadian apabila membaca akhbar bahawa ratusan ribu orang maut akibat kejadian itu sedangkan beliau serta keluarganya terselamat membuatkannya insaf.
"Biasalah kita manusia, mula-mula rasa marah dan panik bila tengok kedai , barang habis rosak, hancur, tapi selepas sehari dua saya baca kisah-kisah tsunami di Sri Lanka, Acheh, Thailand yang mengorbankan ramai orang.. dan saya terselamat dalam kejadian ini.. oh saya sangat bersyukur dan terus mohon maaf pada Tuhan," katanya.
Justeru Suppiah berkata setiap tahun pada tarikh 26 Dis , beliau akan mengadakan upacara sembahyang bagi mengenang mangsa-mangsa yang maut dalam kejadian itu selain mengadakan upacara menolak bala.
Sementara itu Thulaasi berkata beliau bersukur kerana diselamatkan Tuhan dalam musibah itu. Anak kedua itu berkata beliau mula mengetahui tentang kisah tsunami yang diceritakan oleh bapanya semasa berumur dalam lingkungan 4 dan 5 tahun.
"Sejak tahu tentang cerita saya yang terselamat, saya sentiasa ucapkan syukur pada Tuhan setiap kali sembahyang," katanya yang kini berusia 15 tahun.
Thulaasi berkata bapanya juga sering menitipkan nasihat agar menjadi seorang yang akan membantu sesiapa sahaja di kala kesusahan tanpa mengira umur.
Ombak gergasi tsunami tercetus berikutan gempa bumi berukuran 9.3 pada skala Richter di bawah dasar laut ke barat pulau Sumatera, Indonesia pada 26 Disember 2004, meragut lebih 200,000 mangsa di Indonesia, Thailand, India, Maldives dan Sri Lanka.
Ramai yang terbunuh adalah pelancong yang sedang menikmati cuti Krismas mereka di kawasan panas seperti Phuket di Thailand, manakala Aceh paling teruk mengalami kemusnahan dan korban jiwa kerana kedudukannya paling hampir dengan pusat gempa itu.
Di Malaysia, Pulau Pinang adalah antara negeri yang paling terjejas yang mencatatkan 52 daripada 68 kematian di seluruh negara.
-- BERNAMA
#A Suppiah
#Batu Ferrringhi
#bayi ajaib
#gelombang
#gempa bumi
#Indonesia
#mangsa
#meninggal dunia
#ombak
#pelancong
#S Thulaasi
#selamat
#Thailand
#tsunami