Tsunami 2004: Anggota penyelamat kongsi kisah cemas, hiba
Bernama
Disember 25, 2016 16:37 MYT
Disember 25, 2016 16:37 MYT
Biarpun 12 tahun sudah berlalu, namun pengalaman bertugas mencari dan menyelamat dengan berdepan suasana cemas dan hiba sewaktu tragedi tsunami melanda Kota Kuala Muda, masih terpahat jelas dalam ingatan anggota penyelamat.
"Saya merasa sayu dengan apa yang dilihat dengan mata sendiri, rumah musnah, harta benda hilang sekelip mata, tidak pernah jangka tragedi seperti ini akan berlaku kerana belum pernah terjadi tsunami di Malaysia," kata Leftenan Mohd Zuki Othman.
Mengimbas kembali detik cemas pada tanggal 26 Dis 2004 itu, beliau yang ketika itu Ketua Unit Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPA3) Daerah Kuala Muda, berkata selepas mendapat panggilan daripada polis kira-kira pukul 1 tengah hari, beliau terus mengarahkan empat anggotanya dari Seksyen Peninjau ke lokasi.
"Mereka ialah Sarjan Hasrul Mohd Heary Halim, 37 (ketika itu berpangkat Lans Koperal), Koperal Zaimee Zainuddin, 37 (Lans Koperal), (Prebet) Azwan Fitri Abdul Rahman, 37, dan (Prebet) Bakri Mat, 62.
"Ketika anggota lain sedang berkumpul untuk bertolak ke lokasi, mereka memaklumkan bahawa operasi SAR sudah dijalankan, dan setibanya kami di sana, kami mula menjalankan tugas mengikut arahan polis," katanya kepada Bernama.
Bersempena memperingati ulang tahun ke-12 tragedi yang mengorbankan 11 nyawa penduduk di situ, wartawan Bernama menjejaki anggota berkenaan yang kini dikenali Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), yang bertugas dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) ketika itu.
Mohd Zuki, 57, yang ketika itu mengetuai Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di situ, berkata, selain JPA3 dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) juga turut berada di lokasi.
"Masing-masing ditugaskan mengikut kawasan dan JPA3 diarahkan ke kawasan yang agak teruk dilanda ombak tsunami, iaitu sekitar Kampung Kepala Jalan sehingga ke Kampung Tepi Sungai.
"Selain menyertai operasi SAR, kami turut memasak makanan untuk mangsa yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan sementara," katanya.
Tambahnya, beliau bersama kira-kira 20 anggota lain berkampung hampir sebulan di lokasi serta bergotong-royong membersihkan kawasan rumah penduduk yang diselaputi lumpur tebal.
"Sepanjang saya bertugas dengan pasukan ini sejak tahun 1993, inilah pengalaman kali pertama yang tidak mungkin dapat saya lupakan," katanya.
Bagi Prebet Mahayudin Shaari, 41, suasana terlalu hiba selain seluruh kawasan diseliputi lumpuh apabila dia tiba untuk bertugas di Kota Kuala Muda.
"Banyak bangkai hidupan laut seperti ikan sembilang, ikan duri dan seekor ikan lumba-lumba, terdampar di darat, termasuklah hidupan laut yang tidak pernah dilihatnya," katanya.
Tambahnya, sewaktu menyertai SAR dan usaha pembersihan kawasan bencana, terdetik di hatinya akan kekuasaan Allah SWT di sebalik musibah yang diberikan.
"Ada sebuah masjid, batu nisan condong dan ada yang tercabut, dibawa air lumpur namun masjid tidak terjejas bahkan air lumpur tidak mencemari ruang dalam masjid," katanya.
Bagi seorang lagi anggota JPA3, Sarjan Abd Razak Abdullah, 61, walaupun dalam tempoh singkat di berada di lokasi bencana, namun apa yang berlaku tetap meninggalkan kesan mendalam dalam dirinya.
"Saya hanya berkesempatan berada di situ selama empat hari namun berpeluang membantu operasi SAR dan memasak makanan untuk mangsa di pusat pemindahan, bersama rakan-rakan dan agensi lain.
"Apa yang saya lihat tidak dapat digambarkan dengan perkataan, rumah hanya tinggal lantai dan tiang, semua berlaku tanpa diduga, saya hanya mampu berdoa memohon peristiwa hitam itu tidak berulang lagi," katanya. -- BERNAMA