Trump 2.0 dijangka mampu tingkatkan hubungan ekonomi dan keselamatan Malaysia-AS - Penganalisis
Bernama
November 11, 2024 06:15 MYT
November 11, 2024 06:15 MYT
KUALA LUMPUR: Kemenangan Donald Trump dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) 2024 dilihat berpotensi memperkukuh hubungan AS dengan Malaysia, terutamanya dalam aspek ekonomi dan keselamatan.
Penganalisis Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa Universiti Malaya (UM), Collins Chong Yew Keat berkata pendekatan "America First" Trump yang sering dikritik mungkin sebenarnya boleh membuka peluang ekonomi lebih besar untuk Malaysia dengan adanya penyesuaian dasar yang lebih transaksional.
"Kita mungkin melihat peningkatan fleksibiliti Trump dalam penggal kedua ini, dengan fokus kepada perundingan langsung dengan kuasa besar seperti China dan Rusia. Ini memberi peluang kepada Malaysia untuk memperkukuh kedudukan dalam perdagangan dan keselamatan maritim.
Amerika merupakan ekonomi terbesar dunia, dan kekuatan ekonomi ini membantu kestabilan global. Dengan Trump kembali, kita mungkin melihat kadar pengangguran yang rendah serta lonjakan dalam pasaran saham, yang baik untuk ekonomi dunia," katanya dalam temu bual program BERNAMA TV Ruang Bicara pada Isnin.
Beliau berkata walaupun ramai bimbang terhadap impak tarif tinggi oleh Trump, Malaysia mungkin mampu mengatasi cabaran ini melalui penyelarasan dan perundingan yang lebih erat dengan AS.
Cheong berkata dasar Trump yang mahu meningkatkan peranan AS dalam keselamatan maritim antarabangsa dilihat sebagai faktor penting bagi Malaysia, sebuah negara yang banyak bergantung kepada laluan perdagangan di Laut China Selatan.
Dalam aspek keselamatan serantau juga, beliau berpendapat kerjasama pertahanan antara Malaysia dan AS mungkin akan bertambah kukuh di bawah Trump.
"Keselamatan laluan perdagangan maritim adalah penting untuk kestabilan ekonomi dunia, dan AS memainkan peranan besar dalam mengekalkan peraturan antarabangsa ini.
Saya jangka Trump akan terus mengutamakan pendekatan cegah rintang yang berkesan, terutama dalam isu-isu berkaitan Laut China Selatan. Ini membuka peluang kepada Malaysia untuk meraih sokongan keselamatan yang lebih besar daripada AS," katanya.
Mengulas lanjut, Felow Bersekutu Kanan Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI), Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin berkata objektif utama Trump adalah untuk menjadikan ekonomi AS lebih mampan dan berdaya saing di peringkat global.
Menurut beliau walaupun terdapat cabaran dari segi politik antarabangsa, Trump berpotensi memperkukuh hubungan ekonomi dengan negara-negara Asia termasuk Malaysia, melalui kerjasama yang bersifat lebih telus dan transaksional.
Jelasnya, ini kerana Trump dilihat lebih cenderung kepada pendekatan pro-perniagaan dan melihat langkah menyelesaikan konflik global seperti di Ukraine dan Timur Tengah sebagai prasyarat untuk pertumbuhan ekonomi AS yang lebih stabil.
"Kita harus adil kerana semasa era Biden, dunia baru sahaja keluar daripada pandemik. Banyak isu ekonomi seperti pengangguran dan kos hidup tinggi merupakan fenomena global pasca pandemik," katanya.
Trump memperoleh kemenangan besar ke atas calon Demokrat Kamala Harris dalam pilihan raya Presiden pada 5 Nov lepas. Kemenangan itu juga menjadikannya calon Republikan pertama yang memenangi undi popular dalam tempoh dua dekad.
Trump bakal mengangkat sumpah bagi sebagai Presiden Amerika Syarikat yang ke-47 pada 20 Januari depan.
-- BERNAMA