True Fitness: 'Dah nak raya, apa kami boleh buat dengan gaji 9 hari?'
T K Letchumy Tamboo
Jun 22, 2017 17:13 MYT
Jun 22, 2017 17:13 MYT
Apa yang kami boleh buat dengan gaji sembilan hari?
Itulah rintihan hati pekerja-pekerja True Fitness yang terpaksa menganggur akibat penutupan pusat kecergasan True Fitness dan True Spa Malaysia tanpa notis pada 10 Jun lalu.
Ekoran penutupan tersebut, kira-kira 100 pekerja True Fitness hanya menerima gaji sembilan hari pada 19 Jun, untuk tempoh bekerja dari 1 Jun sehingga 9 Jun.
Nur Amira Amrom Hakin, bekas eksekutif sumber manusia pusat kecergasan itu berkata beliau kecewa dengan tindakan pihak pengurusan bekas tempat kerjanya.
“Saya tidak dapat gaji pada 19 Jun seperti yang dijanjikan. Saya hanya mendapat gaji pada 21 Jun. Saya terpaksa periksa setiap lima minit untuk melihat jika gaji sudah masuk.
“Sudahlah lambat, saya dan rakan-rakan lain hanya menerima gaji selama 9 hari sahaja. Ini sudah dekat raya. Apalah yang saya boleh buat dengan gaji sembilan hari itu?” tanyanya.
Seorang lagi bekas pekerja True Fitness, S. Tina Nalini, berkata beliau amat sedih dan kecewa dengan situasi yang dialaminya.
"Kalau kita nak letak jawatan pun, kita kena bagi notis. Sama juga dengan syarikat. Mereka kena bagi notis penutupan berserta gaji. Kami belum dapat kerja kerja baru lagi. Ini langsung tidak adil," katanya.
Kavita Letchumanan yang bakal berkahwin hujung bulan ini turut resah memikirkan nasibnya.
"Bukan senang untuk mendapat kerja sekarang memandangkan ekonomi yang kurang baik sekarang ini. Saya pun tidak mendapat tawaran temuduga lagi.
"Tambahan pula, hujung bulan ini perkahwinan saya. Saya ingat saya boleh bayar baki segala tempahan perkahwinan yang telah dibuat. Namun, apa yang saya dapat bayar dengan gaji sembilan hari?", tanyanya.
Sebelum ini, True Group yang memiliki True Fitness Malaysia, telah tampil memberikan jaminan bahawa gaji serta komisyen tertunggak yang sepatutnya diberikan kepada pekerja-pekerjanya, akan dibayar oleh syarikat itu.
Menurut laporan The Star Online, seorang jurucakap True Group yang berpangkalan di Singapura berkata, akaun-akaun syarikat tersebut telah ‘ditahan’ ekoran pengumuman penutupan operasi pusat-pusat kecergasannya di Malaysia.
Lebih 50 bekas pekerja True Fitness Malaysia telah memfailkan aduan di Jabatan Tenaga Kerja, Subang Jaya pada 13 Jun, selepas pusat kecergasan itu menutup operasinya di negara ini.
Penutupan pusat kecergasan itu dilakukan tanpa pemberian sebarang notis atau pampasan.
Dalam satu kenyataan di laman webnya, pusat itu yang telah beroperasi di Malaysia selama 12 tahun, berkata penamatan operasi itu ekoran prestasi perniagaan yang tidak menguntungkan.