Trizure International peruntuk RM200,000 untuk misi bantuan banjir di seluruh negara
Astro Awani
November 29, 2020 18:06 MYT
November 29, 2020 18:06 MYT
KUANTAN: Trizure International (Malaysia) Sdn. Bhd. memperuntukkan kira-kira RM200,000 bagi menyampaikan sumbangan untuk misi bantuan banjir kepada 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh negara.
Sumbangan terbabit adalah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu bagi membantu sukarelawan NGO menggerakkan misi bantuan banjir mereka di seluruh negara.
Majlis penyampaian sumbangan itu disempurnakan oleh Pengerusi Trizure International, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir di Tanjung Lumpur, di sini hari ini.
Yang hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah Trizure International, Datuk S. Silvarajah dan Datuk Jeffrey Zainal Abidin.
Zuhairi berkata, apa diharapkan sumbangan itu dapat membantu NGO terlibat untuk menggerakkan misi bantuan banjir sekali gus membantu mangsa yang terlibat dengan musibah berkenaan.
"Sumbangan ini sebagai persediaan kepada NGO terlibat untuk membantu bersama pihak kerajaan bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan," katanya.
Zuhairi dalam pada itu berkata, Trizure International kini dalam usaha mewujudkan sebuah platform secara dalam talian bagi membantu golongan B40 dan M40 memasarkan produk perniagaan mereka.
Syarikat itu, jelasnya, dalam proses mewujudkan aplikasi seperti Lazada, Shopee yang akan membantu mempromosikan produk perniagaan golongan berkenaan secara dalam talian.
"Usaha Trizure International ini adalah selaras saranan kerajaan yang menggalakan perniagaan secara digital pada era norma baharu ekoran penularan pandemik Covid-19 pada ketika ini.
"Tentunya kaedah perniagaan secara dalam talian ini akan memudahkan dan menjimatkan golongan peniaga khususnya kumpulan B40 dan M40," katanya.
#NGO
#Trizure International
#misi bantuan banjir
#M40
#B40
#mangsa banjir
#peniaga
#Malaysia
#COVID-19
#pandemik
#kerajaan
#banjir