Tribunal Rakyat : 3457 nama dipindahkan dari daftar pemilih - saksi

Aizat Sharif
September 18, 2013 09:53 MYT
Sebanyak 3457 nama pemilih berdaftar didakwa telah 'dipindahkan' dari daftar pemilih kawasan Parlimen Klang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang diadakan pada 5 Mei.
Dari jumlah tersebut, 2195 dipercayai telah ditukarkan ke luar dari kawasan Klang manakala 1000 pula dialihkan ke kawasan-kawasan sekitar Selangor dan selebihnya pula ada yang dipindahkan ke negeri-negeri seperti Sabah dan Sarawak.
Dakwaan yang ditimbulkan oleh Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dalam Tribunal Rakyat PRU13 di sini menambahkan lagi intipati dakwaan salah laku dan kesalahan yang berlangsung sebelum dan semasa PRU13.
Beliau yang juga saksi pertama untuk tribunal ini mendakwa terdapat penduduk Klang yang tidak pernah mendaftar untuk mengundi namun telah didaftarkan sebagai pemilih di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Butterworth dan Shah Alam.
"Malah ada yang lebih teruk dimana dalam satu alamat rumah yang kami temui di Klang iaitu di Jalan Papan sekitar Pandamaran mempunyai 60 pemilih tinggal di alamat rumah yang sama dan pemilik rumah itu juga tidak pernah mengetahui mengenai perkara itu," ujar Charles.
Tribunal yang berlangsung bermula hari ini sehingga 22 September juga turut memanggil beberapa individu termasuk seorang wakil calon pilihan raya yang lalu, seorang wanita cacat penglihatan, wakil NGO seperti pengasas Tindak Malaysia, PY Wong dan ramai lagi.
Antara dakwaan yang ditimbulkan termasuklah penyelewengan dari segi daftar pemilih, penipuan dalam pengendalian undi pos dan undi awal.
Panel tribunal terdiri dari pakar undang-undang ,Profesor Yash Pal Ghai, mantan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia Ramlan Surbakti, bekas pegawai diplomatik Kementerian Luar Negeri, Datuk Azzat Kamaluddin, bekas pensyarah kanan di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya, Dr Mavis Puthucheary dan Setiausaha Agung Majlis Gereja Malaysia, Reverend Dr Herman Shastri.
Manakala, Pengarah Pusat Kecemerlangan untuk Undang-undang Biodiversiti, Universiti Malaya, Profesor Gurdial Singh Nijar bertindak sebagai ketua untuk pasukan guaman bagi tribunal ini.
Tribunal ini merupakan sebuah inisiatif Gabungan Pilihan Raya Bebas & Adil (Bersih 2.0).
#Charles Santiago #Klang #Parlimen #pilihan raya #PRU13 #tribunal