Tribunal Hak Cipta Malaysia mula dengar kes pertama 19 Mac
Shafiqa Azami
Mac 17, 2025 04:15 MYT
Mac 17, 2025 04:15 MYT
Armizan berkata, Tribunal Hak Cipta diwujudkan sebagai platform untuk pihak yang berpendapat hak cipta mereka telah dilanggar untuk mendapatkan keadilan.
KUALA LUMPUR: Malaysia bakal menyaksikan kes pertama dibawa ke Tribunal Hak Cipta pada 19 Mac ini (esok), sekali gus menandakan satu perkembangan penting dalam usaha melindungi hak cipta di negara ini.
Tribunal tersebut telah diperuntukkan sejak awal penubuhan Akta Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), namun sehingga kini, tiada kes pernah dibawa ke peringkat itu.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Datuk Armizan Mohd Ali, tribunal ini diwujudkan sebagai platform untuk pihak yang berpendapat hak cipta mereka telah dilanggar untuk mendapatkan keadilan.
“Inilah juga antara pendekatan kita bahawa sebenarnya selain daripada perundangan tersebut, kerajaan menyediakan di bawah rangka perundangan itu satu tribunal bagi mana-mana pihak yang merasakan adanya pelanggaran, infringement kepada hak mereka, bahawa mereka boleh membawa kepada tribunal tersebut untuk memastikan mereka dapat memperjuangkan hak tersebut," kata Armizan.
Beliau berkata demikan semasa berucap pada Majlis Advokasi Royalti Muzik, di sini, pada Isnin.
Dalam usaha mengukuhkan pengurusan royalti muzik, MyIPO dengan keriasama KPDN berusaha dalam mengukuhkan pengurusan royalti muzik.dalam kalangan penggiat seni melalui program advokasi.
Sejak Januari 2023 hingga Februari 2025, sebanyak 17,402 permohonan pendaftaran hak cipta diterima. Namun, hanya 170 permohonan melibatkan karya muzik dan 146 bagi rakaman bunyi - angka yang masih rendah berbanding jumlah keseluruhan.
Bagi mempercepatkan proses pendaftaran, sistem dalam talian Copyright to You (CR4U) telah diperkenalkan dan menunjukkan peningkatan, namun usaha memperluaskan pendaftaran dalam industri muzik perlu diteruskan.
Selain itu, isu berkaitan pengurusan royalti oleh Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) turut diberi perhatian. Akta Hak Cipta yang dipinda pada 2022 memberi kuasa kepada MyIPO untuk menetapkan garis panduan bagi memastikan agihan royalti lebih telus dan adil kepada pemilik hak cipta serta pengguna karya.
Beliau turut menegaskan, kepentingan semua pihak perlu diambil kira dalam merangka garis panduan ini, bagi memastikan hak penggiat seni dilindungi dan karya mereka terus memberikan pulangan yang wajar.