Tribunal Anti Gangguan Seksual dijangka beroperasi sebelum Januari 2024 - Nancy
Umavathi Ramayah
November 24, 2023 00:20 MYT
November 24, 2023 00:20 MYT
KUALA LUMPUR: Tribunal Anti Gangguan Seksual dijangka beroperasi selewat-lewatnya pada Disember ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, bagi tujuan itu presiden, timbalan presiden serta 10 anggota tribunal berkenaan akan dilantik dalam masa terdekat.
"Peguam Negara ketika ini sedang meneliti pelantikan anggota tribunal kerana kuasa pelantikan adalah di bawah kuasa Jabatan Peguam Negara," katanya pada sidang media majlis pelancaran Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita di sini, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Nancy memberitahu, buat masa ini, tribunal berkenaan akan beroperasi di kementeriannya di Putrajaya sementara menunggu kerja-kerja pengubahsuaian bangunan tersebut siap.
Akta Anti Gangguan Seksual 2022 (Akta 840) dikuatkuasakan secara berperingkat mulai 28 Mac lalu.
Fasa pertama penguatkuasaan Akta 840 melibatkan advokasi gangguan seksual kepada orang awam, manakala penubuhan Tribunal Anti Gangguan Seksual melibatkan pada fasa kedua.
Pada 10 Oktober lalu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meluluskan perjawatan bagi penubuhan Tribunal Anti Gangguan Seksual.
Penubuhan tribunal itu bertujuan untuk menyediakan platform alternatif bagi menambah baik sistem perundangan dan pengendalian aduan gangguan seksual dengan cepat, mudah dengan kos minimum.