Trend permintaan lada dunia dijangka terus meningkat pada tahun ini dan tahun depan - Johari
Bernama
Mei 15, 2024 17:57 MYT
Mei 15, 2024 17:57 MYT
KUALA LUMPUR: Trend permintaan lada dunia dijangka terus meningkat pada tahun ini dan berterusan sehingga ke tahun depan, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata potensi kegunaan komoditi lada dalam pelbagai bidang seperti farmaseutikal dan kosmeseutikal merupakan antara faktor yang mendorong kepada trend peningkatan positif tersebut.
"Pada 2023, penggunaan lada dunia berjumlah kira-kira 291,000 tan, peningkatan sebanyak 40,000 tan berbanding tahun sebelumnya.
"Namun eksport lada Malaysia sedikit menurun pada 2023 kepada 5,800 tan bernilai RM149 juta berbanding 6,700 tan pada tahun sebelumnya dengan nilai RM180 juta," katanya dalam ucapan beliau pada majlis perasmian Persidangan Kebangsaan Industri Lada Malaysia 2024 yang julung kali diadakan tahun ini bertemakan "Memantapkan Pertumbuhan Industri Lada".
Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin.
Johari berkata, Malaysia merupakan negara pengeluar lada kelima terbesar di dunia dengan pengeluaran kira-kira 31,000 tan pada 2023 dibelakang Vietnam, Brazil, India dan Indonesia.
Menurutnya, sejak kebelakangan ini industri lada menghadapi situasi yang sedikit mencabar sama ada di peringkat tempatan mahupun global berikutan isu ketidakseimbangan bekalan dan permintaan yang memberi tekanan ke atas harga.
Justeru, katanya, bagi memastikan kemampanan industri lada, kerajaan, melalui Lembaga Lada Malaysia (MPB) sedang melaksanakan beberapa program, projek dan juga bantuan yang lebih dinamik dan bersepadu seperti menawarkan pelbagai insentif dan bantuan kepada pekebun kecil dan juga usahawan lada untuk merancakkan perkembangan industri huluan dan hiliran.
Antara bantuan yang ditawarkan ialah Skim Tanaman Lada Baharu dan Skim Tanaman Lada Matang bagi meringankan beban kos, yang mana di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM50 juta untuk memastikan usaha ini berjaya, katanya.
Selain itu, katanya, kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi melaksanakan projek lada berkualiti premium dan RM5 juta lagi diperuntukkan untuk meningkatkan penglibatan usahawan hiliran yang berdaya saing.
Sementara itu, mengenai persidangan tersebut Johari berkata ia diadakan bertujuan untuk meningkatkan permintaan dan penggunaan lada serta memperkukuhkan sektor hiliran.
Persidangan tersebut menghimpunkan pelbagai pemegang kepentingan dalam sektor lada seperti perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pengeksport, pengimport, industri makanan, hotel, restoran dan kafe.
"Persidangan ini adalah bukti komitmen kerajaan ke arah pertumbuhan industri lada tempatan yang berdaya saing sekali gus mampu menjana nilai berganda kepada ekonomi negara," katanya.
-- BERNAMA