Trend penurunan kes baharu COVID-19 di Sarawak adalah tulen - Uggah

Bernama
November 27, 2021 20:09 MYT
Trend penurunan angka kes baharu COVID-19 di Sarawak tidak dimanipulasi sebagaimana didakwa oleh sesetengah pihak, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas. - Gambar fail
BARAM (Sarawak): Trend penurunan angka kes baharu COVID-19 di Sarawak tidak dimanipulasi sebagaimana didakwa oleh sesetengah pihak, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Menurut beliau, beberapa individu bertindak membuat dakwaan tersebut menerusi media sosial dan menuduh bahawa trend penurunan angka jangkitan COVID-19 itu sengaja direka-reka oleh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menyokong langkah untuk membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 yang dinanti-nantikan itu, diadakan.
"Angka berkenaan dilaporkan setiap hari oleh Kementerian Kesihatan (KKM). Kerajaan negeri tidak terlibat dalam perkara ini. Beberapa netizen menuduh kerajaan melakukan manipulasi untuk mewajarkan keputusan supaya Pilihan Raya Negeri ke-12 diadakan tidak lama lagi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jangkauan Komuniti Pertanian (AgriCOP) di balai raya Kampung Long Bemang di sini, yang turut dihadiri Ahli Parlimen Baram Anyie Ngau dan penyandang kerusi Telang Usan Dennis Ngau dari GPS.
"Ia langkah yang betul dilambil kerajaan negeri dengan menggesa agar PRN diadakan sekarang. Kita bimbang kemungkinan muncul varian baharu pada masa hadapan selain jika kita menunggu sehingga tahun depan, musim tengkujuh dijangka berlaku di negeri ini bermula Januari hingga Februari depan," katanya .
Sarawak merekodkan sebanyak 239 kes pada Selasa, 192 kes (Rabu), 171 kes (Khamis), 144 kes (Jumaat) dan hari ini sebanyak 137 kes dan Uggah berkata trend menurun kes jangkitan itu berikutan kejayaan pelaksanaan program vaksinasi di negeri ini yang menyaksikan 90.5 peratus individu telah lengkap menerima dos vaksin COVID-19, yang merangkumi 75.5 peratus keseluruhan penduduk Sarawak.
Selain itu, beliau berkata 634,684 individu telah menerima dos penggalak setakat ini.
Di sebalik kejayaan ini, Uggah berkata setiap penduduk di Sarawak perlu terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikenakan bagi membendung penularan COVID-19 di negeri ini, khususnya apabila berlangsung PRN kelak.
"Kita wajib melindungi diri kita untuk melindungi orang tersayang dan semua rakyat Sarawak," tambahnya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Rabu lepas, menetapkan 6 Dis sebagai hari penamaan calon untuk PRN Sarawak ke-12 dan 14 Dis sebagai pengundian awal manakala 18 Dis, hari mengundi.
-- BERNAMA
#Sarawak #trend penurunan kes COVID-19 #tulen #Timbalan Ketua Menteri #Douglas Uggah Embas #PRN Sarawak #pilihan raya negeri
;