Tren pertama LRT3 selamat tiba
Ehsan A Marisah
Jun 21, 2021 16:13 MYT
Jun 21, 2021 16:13 MYT
KUALA LUMPUR: Set tren tiga gerabak pertama untuk Projek pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) tiba di negara pada 19 Jun lalu untuk kerja pemasangan.
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam satu kenyataan berkata, tren tersebut kini berada di fasiliti pemasangan milik CRRC Rolling Stock Center (Malaysia) di Batu Gajah, Perak.
“Laluan LRT3 yang menghubungkan Johan Setia di Klang dengan Bandar Utama akan mempunyai 22 set tren tiga gerabak yang dibekalkan oleh CRRC Corporation Limited, China.
“Sementara itu, laluan sepanjang 37.6 kilometer ini dijadualkan dibuka untuk perkhidmatan pada Februari 2024,” katanya.
Projek LRT3 yang akan menghubungkan para penumpang dari Koridor Barat Lembah Klang dan pusat bandar raya Kuala Lumpur kini sudah mencapai lebih 33 peratus kemajuan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 28 Februari 2024.
#prasarana
#Transit Aliran Ringan 3
#Tajuddin Abdul Rahman
#projek LRT3
#Koridor Barat Lembah Klang
#Kumpulan PRASARANA
#Malaysia
#Klang