Tren generasi baru LRT laluan Kelana Jaya lebih kondusif, selamat
Harits Asyraf Hasnan
Januari 18, 2016 15:03 MYT
Januari 18, 2016 15:03 MYT
Pengguna LRT laluan Kelana Jaya bakal menikmati perjalanan yang lebih kondusif apabila Prasarana Malaysia Berhad memperkenalkan tren generasi baru, Bombardier INNOVIA Metro 300.
Selain meningkatkan kemudahan ketersambungan dan jarak perjalanan, tren baru ini juga memberikan tahap keselesaan dan keselamatan yang lebih tinggi kepada pengguna.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Azmi Abdul Aziz berkata, Prasarana telah membeli 14 set tren empat gerabak di mana set pertama dijangka mula beroperasi pada bulan Jun akan datang.
"Idea untuk menambahkan jumlah tren di dalam sistem ini akan meningkatkan frekuensi. Ini bermakna tren ini boleh membawa lebih penumpang dan penambahan tren bermakna waktu menunggu di stesen juga semakin singkat," katanya pada sidang media Majlis Pengenalan Bombardier INNOVIA Metro 300 di sini hari ini.
Menurut Azmi, tren yang beroperasi kini hanya memuatkan sekitar 200 orang penumpang dalam satu gerabak berbanding tren baru yang boleh memuatkan hampir 240 orang satu gerabak.
"Tren pertama ini akan mula beroperasi pada Jun ini. Kita akan tambah tren daripada semasa ke semasa dan kesemua 14 tren ini akan mula beroperasi di Laluan Kelana Jaya pada Jun tahun depan," katanya.
Tren itu memiliki bahagian hujung tren aerodinamik dengan bahagian cermin depan dan belakang yang lebih luas untuk pengguna menikmati pemandangan sepanjang perjalanan.
Berbeza dengan tren LRT laluan Kelana Jaya yang digunakan sekarang, tren baru ini dilengkapi empat kamera litar tertutup di setiap gerabak.
Malah, setiap gerabak juga dipasang dengan kemudahan sistem informasi penumpang, iaitu kemudahan infortainment untuk hiburan dan maklumat kepada para penumpang.
Direka, dibangunkan dan diuji di Bombardier's Centre of Competence for Mass Transit System di Kingston, Kanada, tren pertama model INNOVIA Metro 300 ini sampai di Malaysia pada 18 Disember tahu lalu selepas lebih dua bulan perjalanan melalui lalut.
Tren-tren ini dihantar ke Malaysia secara berperingkat dengan tren kedua dijadual tiba akhir bulan depan. Tren ke 14 dan yang terakhir akan dihantar dari Kanada pada Mac tahun depan.