Tren ETS laluan Ipoh-Kampar beroperasi seperti biasa mulai 5 pagi Ahad
Nazialita Geynna Maharan
Oktober 29, 2016 19:24 MYT
Oktober 29, 2016 19:24 MYT
Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) bagi laluan Ipoh ke Kampar dijangka boleh digunakan seperti biasa bermula seawal jadual perjalanan jam 5 pagi esok (Ahad).
Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Ir Nawawi Ahmad berkata kerja-kerja pengalihan gerabak tren kargo yang tergelincir dan terkeluar daripada landasan pada Jumaat sudah pun siap sebanyak 70 peratus.
Menurut beliau,perkembangan positif dan progresif ini adalah hasil kerja berterusan daripada pihaknya yang memastikan kerja pengalihan gerabak berjalan dengan lancar di sebalik cuaca hujan yang berlaku di sekitar lokasi kejadian.
"Buat masa ini, kita menjangkakan kerja-kerja pembaikan kabel landasan yang putus dan kerosakan lain akan memakan masa selama tujuh hari.
"Tren pertama akan bergerak daripada stesen KTM Ipoh ke Gemas dijadualkan seawal jam 5.20 pada hari esok (Ahad) dan menggunakan satu laluan sepanjang 100 meter yang telah dibaikpulih," katanya kepada pemberita pada sidang media di lokasi kejadian di sini pada Sabtu.
Ir Nawawi berkata dengan perkembangan tersebut, penumpang dijangka tidak lagi perlu menaiki bas transit di stesen Ipoh dan Kampar pada jadual perjalanan pertama esok.
Katanya, kerja pengalihan gerabak dilakukan bermula jam 12.30 tengah hari tadi dengan menggunakan sebuah kren yang mampu mengangkat bebanan seberat 360 tan.
Jelasnya, selepas kerja-kerja pengalihan gerabak selesai, kerja membaiki landasan akan dilakukan diikuti dengan kerja memasang semula bekalan elektrik di kawasan yang terjejas.
"Kami memahami kekecewaan beberapa penumpang yang menyatakan rasa tidak puas hati terhadap harga belian tiket yang lebih mahal namun mendapat perkhidmatan yang sama dan agak kurang memuaskan.
"Namun, ini adalah kes darurat dan tidak dijangka bagi KTMB dan kami memohon maaf di atas kesulitan, diharap semua bersabar," katanya lagi.
Pada Jumaat, perkhidmatan tren di laluan utara dan selatan mengalami gangguan ekoran insiden kegelinciran tren kargo di KM200.332 antara Kota Bharu-Lahat di Stesen Batu Gajah dekat Ipoh dalam satu kejadian pada pukul 3.15 pagi.