Tren empat gerabak monorel tingkat ciri-ciri keselamatan

Bernama
Ogos 23, 2020 16:33 MYT
Operasi bagi tren empat gerabak dan dua gerabak adalah berbeza. - Foto: myrapid.com
Penggunaan sepenuhnya 12 set tren monorel empat gerabak yang dijangka beroperasi pada hujung tahun depan, bukan sahaja akan memberi lebih keselesaan sebaliknya turut meningkatkan ciri-ciri keselamatan kepada penumpang.
Ketua Pegawai Operasi Laluan Monorel Rapid Rail Sdn Bhd Mohd Ariffin Idris berkata, pengoperasian kesemua tren empat gerabak itu akan mengaktifkan sistem pintu penghadang automatik yang terdapat di platform.
Menurutnya, buat masa ini sistem pintu penghadang automatik di semua stesen masih belum berfungsi sepenuhnya, ekoran perbezaan penggunaan tren.
"Buat masa ini, perkhidmatan monorel beroperasi masing-masing dengan lima set tren empat gerabak dan dua gerabak.
"Operasi bagi tren empat gerabak dan dua gerabak adalah berbeza, sebab itu pintu berkenaan sentiasa terbuka," katanya kepada Bernama.
Justeru, Mohd Ariffin berharap agar kejadian terjatuh di landasan monorel tidak akan berulang kembali.
Menurutnya, sebanyak 18 kes seumpama itu yang melibatkan lima orang kurang upaya (OKU) dan 13 orang awam dilaporkan sejak 2016.
"Buat masa ini, sementara menunggu sistem berfungsi sepenuhnya, kami menempatkan anggota polis bantuan bagi membantu penumpang terutamanya golongan OKU, selain memantau keselamatan mereka," katanya sambil menambah akan meneruskan projek menaik taraf bagi kemudahan OKU di setiap stesen.
Pada masa sama, Mohd Ariffin yakin penggunaan semua tren empat gerabak itu akan meningkatkan jumlah penumpang sehingga dua kali ganda.
"Kami akan menambah lagi tujuh set tren empat gerabak sekali gus meningkatkan kapasiti penumpang daripada 214 kepada 430 orang pada waktu puncak," katanya.
Menurutnya, itulah harapan terbesar daripada pihaknya sempena sambutan ulang tahun ke-17 monorel pada 31 Ogos ini.
"Ramai yang menyatakan tren monorel sedia ada sebagai lapuk dan lama. Tetapi sebenarnya, kami sangat mementingkan keselamatan penumpang.
"Selain mengharapkan semua sistem yang lama dapat diperbaharui dan dinaik taraf, kami juga mahu semua set tren baharu empat gerabak beroperasi sepenuhnya seperti yang dijadualkan," katanya.
Sementara itu, Mohd Ariffin menyifatkan perkhidmatan monorel masih relevan dan perlu dikekalkan, selain berharap ia dapat dikembangkan di bandar-bandar besar seperti Johor Bahru, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu.
"Selain dapat menambah baik kualiti kehidupan rakyat, perkhidmatan monorel juga dapat mengelakkan mereka menghabiskan masa dalam kesesakan lalu lintas sekali gus menjimatkan kos perjalanan.
"Malah, permintaan iklan untuk dipamerkan di gerabak dan platform juga tinggi," katanya.
-- BERNAMA
#ciri keselamatan #Mohd Ariffin Idris #monorel #pengangkutan awam #Rapid Rail Sdn Bhd #tren
;