Tren bergeser: Siasatan terperinci terhadap insiden pelanggaran akan dijalankan - Ab Aziz Kaprawi
Astro Awani
Mei 8, 2016 07:37 MYT
Mei 8, 2016 07:37 MYT
Keretapi Tanah Melayu Berhad, KTMB diarah supaya menjalankan siasatan terperinci terhadap insiden pelanggaran tren Perkhidmatan Keretapi Elektrik (ETS) dengan Ekspres Rakyat pada Sabtu.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi memaklumkan, siasatan itu bagi mengetahui punca insiden itu berlaku sama ada disebabkan kegagalan sistem berfungsi atau kecuaian manusia.
Ab Aziz percaya percaya insiden itu tidak sepatutnya berlaku kerana sistem berada dalam keadaan baik dan cuaca cerah.
"Kita sedang siasat mungin berlaku kecuaian manusia dan bagaimana kecuaian berlaku kerana ketika kejadian cuaca baik dan pemandu tren boleh melihat dengan baik. Kita berasa agak pelik dengan kejadian ini", katanya pada sidang media selepas sambutan Hari JPJ di sini, pada Ahad.
Jelas Ab Aziz, pemandu ETS terbabit digantung tugas sehingga siasatan selesai dan akan menjalani ujian saringan kesihatan bagi melengkapkan proses siasatan KTMB.
Laporan polis sudahpun dibuat bagi mengetahui kemungkinan terdapat unsur khianat atau sebaliknya.
Pada Sabtu, berlaku pelanggaran antara tren ETS dengan tren Ekspress Rakyat di kilometer 322 Kuala Kubu Bharu mengakibatkan tiga penumpang cedera.