Tren baharu DMU bawa pembaharuan di Pantai Timur
Bernama
April 11, 2021 00:02 MYT
April 11, 2021 00:02 MYT
TUMPAT: Tren diesel multiple unit (DMU) yang dilancarkan pada Ahad bakal membawa pembaharuan serta merancakkan lagi sektor ekonomi, sosial dan pelancongan di Pantai Timur, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Beliau berkata buat permulaan lima daripada 13 DMU akan memulakan operasi melibatkan jajaran Pantai Timur bagi sektor laluan Tumpat-Gua Musang dan Gua Musang-Kuala Lipis.
"Tren DMU bernilai RM380 juta ini jauh lebih baik daripada tren konvensional dari segi keselesaan untuk menampung keperluan dan permintaan penumpang.
"Perkhidmatan yang disediakan ini setara dengan negara maju membuktikan kerajaan tidak hanya memberi tumpuan kepada kawasan Lembah Klang tetapi juga Pantai Timur," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Tren Diesel Multiple Unit (DMU) di Stesen Pasir Mas, di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri Datuk Azami Mohd Nor.
Terdahulu, Wee bersama rombongan meluangkan masa menaiki tren DMU berkenaan bermula dari Stesen Wakaf Bharu ke Stesen Pasir Mas.
Tren DMU diperkenalkan khusus bagi menggantikan perkhidmatan tren diesel konvensional KTM Intercity, mempunyai empat koc setiap unit memiliki 204 tempat duduk dilengkapi dengan fasiliti moden seperti skrin LED, soket kuasa, ruang solat, tandas, bistro dan ruang menyimpan barang bungkusan.
Tren ini juga mempunyai empat tempat duduk dan tandas untuk memenuhi keperluan penumpang Orang Kurang Upaya (OKU).
-- BERNAMA
#DMU
#KTM
#Pantai Timur
#KTM Berhad
#tren baharu
#diesel multiple unit
#Tumpat
#Gua Musang
#Kuala Lipis