Treler sarat muatan balak terbalik di Jertih

Bernama
Januari 11, 2023 13:12 MYT
Anggota polis ditempatkan di kawasan kejadian kemalangan bagi mengawal lalu lintas sebelum kerja memindahkan kayu balak dilakukan.
JERTIH: Seorang lelaki nyaris maut selepas treler yang sarat dengan muatan balak yang dipandunya terbalik di Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu dekat Kampung Gong Nering di sini, pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira 4.15 pagi itu Mohd Hafizee Ishak, 33, berasal dari Kuala Krai, Kelantan bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan.
Ketua Polis Daerah Besut Supt. Abdul Rozak Muhammad berkata lelaki itu memandu lori treler seorang diri dari arah Kota Bharu, namun kemalangan itu tidak melibatkan kenderaan lain.
"Kejadian berlaku ketika treler itu dalam perjalanan dari Kuala Krai untuk menghantar balak ke sebuah kilang papan di Ajil, Hulu Terengganu.
"Pemandu dikatakan hilang kawalan lalu terbalik di satu persimpangan dan kira-kira 30 kayu balak bergelimpangan atas jalan," katanya ketika dihubungi Bernama.
Abdul Rozak berkata pihaknya menempatkan anggota polis di kawasan kejadian bagi mengawal lalu lintas sebelum kerja memindahkan kayu balak itu dilakukan.
Sementara itu Mohd Hafizee berkata beliau bersyukur terselamat dalam kejadian yang hampir meragut nyawanya apabila kayu balak jatuh sehingga ke hadapan treler.
-- BERNAMA
#treler muatan balak #treler terbalik #Abdul Rozak Muhammad #kayu balak jatuh
;