Treler rempuh pondok tol, jurutol nyaris maut

Astro Awani
Mei 23, 2019 23:15 MYT
Rempuhan kuat treler menyebabkan pondok tol roboh dan terjatuh ke atas bumbung Proton Gen 2 yang berada di lorong bersebelahan. Foto netizen.
Seorang jurutol wanita nyaris maut selepas pondok tol tempatnya bertugas dirempuh sebuah treler dalam kejadian di Plaza Tol Kubang Semang, Lebuhraya Butterworth-Kulim dekat Seberang Jaya hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, jurutol berusia 30-an yang berada di dalam pondok tambah nilai dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan trauma.
Siasatan awal mendapati, treler tersebut dipercayai membawa barangan lusuh, kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid dalam satu kenyataan.
"Treler tersebut membawa muatan berlebihan dan ia (muatan) itu telah tersangkut pada pondok tol tersebut.
"Rempuhan kuat itu menyebabkan pondok tol roboh dan terjatuh ke atas bumbung kereta jenis Proton Gen 2 yang berada di lorong bersebelahan iaitu lorong paling kiri," katanya.
Nik Ros Azhan berkata jurutol itu sempat menyelamatkan diri sebaik kemalangan berlaku namun dia mengalami kecederaan ringan serta dalam keadaan trauma.
Sementara itu, lelaki yang memandu kereta Proton Gen 2 mengalami kecederaan ringan manakala pemandu treler tidak cedera.
#cedera #jurutol #kecederaan ringan #kemalangan #Lebuhraya Butterworth-Kulim #Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid #nyaris maut #pondok tol #rempuhan #siasatan #tol #trauma #treler
;