Treler muatan serbuk plastik musnah terbakar di lebuh raya PLUS

Aida Aziz
Mei 13, 2024 07:15 MYT
Sebuah treler yang membawa muatan serbuk plastik musnah terbakar di kilometer (km) 293.7 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), arah selatan, di Gopeng, hari ini. - Gambar ihsan bomba
GOPENG: Sebuah treler yang membawa muatan serbuk plastik musnah terbakar di kilometer (km) 293.7 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), arah selatan, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kejadian itu berlaku pada jam 5.01 pagi.
Bagaimanapun, beliau memberitahu, kebakaran 70 peratus treler itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.
"Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng dibantu jentera tangki air Simpang Pulai bergegas ke lokasi kejadian.
"Didapati treler itu musnah terbakar di bahagian belakang.
"Ketua operasi melaksanakan size up serta mengaplikasikan konsep RECEO lalu mengarahkan anggota membuat pemadaman dengan menggunakan dua aliran salur bantu mula dari air tangki jentera," katanya dalam kenyataan media pada Selasa.
Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Wan Mohd Fadzil Wan Hamzah itu membabitkan seramai sembilan anggota dan tamat jam 6.17 pagi.
#kebakaran #treler serbuk plastik #Lebuh Raya PLUS #balai bomba Gopeng
;