Treler muatan plaster siling musnah terbakar di lebuh raya PLUS

Aida Aziz
Februari 27, 2023 13:42 MYT
Treler tersebut terbakar sebanyak 70 peratus, bagaimanapun tidak membabitkan mangsa. - Foto JBPM Perak
MUALLIM: Sebuah treler muatan plaster siling musnah dalam kejadian kebakaran di Kilometer (km) 375.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, di sini hari ini.
Menurut Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Pegawai Bomba Kanan II, Suhaimi Sarip berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.17 pagi.
Katanya lagi, treler tersebut terbakar sebanyak 70 peratus, bagaimanapun tidak membabitkan mangsa.
"Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River dengan dibantu Pasukan Bomba Sukarela Slim Village bergegas ke lokasi kejadian.
"Anggota bomba menggunakan dua aliran hose reel dari tangki jentera dan dibantu oleh sepasukan anggota bomba Slim Village sehingga api padam sepenuhnya," katanya kepada pemberita.
Operasi tersebut tamat sepenuhnya pada jam 10.37 pagi.
#treler terbakar #Lebuh Raya PLUS #Muallim #plaster siling
;