Treler muatan kereta terbakar di Lebuhraya Utara Selatan, tiga kenderaan musnah

Abd Razak Mohd Ali
September 29, 2024 07:50 MYT
Anggota bomba memadamkan kebakaran menggunakan dua unit salur bantu mula air dari tangki jentera sehingga api berjaya dipadam sepenuhnya, di KM231 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat Kuala Kangsar, awal pagi ini. - Foto JBPM Perak
KUALA KANGSAR: Tiga buah kenderaan musnah selepas sebuah treler muatan kereta terbakar di Kilometer 231 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, dekat sini, awal pagi ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 12.26 pagi.
Menurutnya, sebaik menerima panggilan kecemasan, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar digerakkan ke lokasi yang jaraknya 15 kilometer.
“Apabila sampai ke lokasi, didapati kebakaran melibatkan sebuah treler jenis Volvo muatan kereta yang terbakar di bahagian belakang treler musnah anggaran 15 peratus.
“Kebakaran melibatkan tiga buah kenderaan iaitu Perodua Aruz dan Honda City, masing-masing musnah 90 peratus, dan Nisssan Xtrail yang musnah 30 peratus,” katanya dalam kenyataan di sini.
Bagaimanapun, katanya, kebakaran tidak melibatkan mangsa.
Menurutnya, ketua operasi mengarahkan anggota memadamkan kebakaran menggunakan dua unit salur bantu mula air dari tangki jentera sehingga api dapat dipadamkan sepenuhnya.
Operasi yang turut dibantu pasukan dari BBP Taiping tamat jam 1.52 pagi.
#Lebuhraya Utara Selatan #Kuala Kangsar #kereta terbakar #JBPM Perak
;