Treler hilang kawalan lalu terbalik, pemandu maut, kelindan cedera
Vivi Sumanti
Februari 20, 2019 18:39 MYT
Februari 20, 2019 18:39 MYT
Seorang pemandu maut tersepit di bawah kepala treler lori muatan balak selepas kenderaan dipandunya hilang kawalan sebelum terbalik di Kilometer 30, Jalan Gua Musang-Lojing, di Gua Musang, Kelantan, pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah hari itu, mangsa, Mohammad Amirul Syamir Noor Azizi, 28 tahun yang beralamat di Kampung Temin, Sungai Siput, Perak, disahkan maut di lokasi.
Manakala, kelindannya, Mohd. Akmal Ikbar Ataruddin, 27 tahun hanya mengalami kecederaan di bahagian kaki.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, ketika kejadian treler itu dalam perjalanan dari Gua Musang menuju ke Lojing untuk menghantar muatan balak.
Katanya, sebaik tiba di kawasan kejadian treler berkenaan hilang kawalan menyebabkan ia terlanggar penghadang di tepi jalan sebelum terbalik bersama muatan kayu balak.
Akibat kemalangan itu, pemandu lori maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah akibat tersepit di bawah kepala lori.
Mayat mangsa tersepit yang berjaya dikeluarkan anggota bomba dibawa ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat.
Kelindan yang cedera pula dihantar oleh anggota paramedik Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ke hospital sama untuk rawatan.
Mohd. Taufik berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Anuar Abas ketika dihubungi pula berkata, beliau bersama sembilan anggota lain bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.09 petang.
Katanya, sebaik saja memulakan operasi pada pukul 1.40 petang, mangsa dipercayai telah meninggal dunia akibat tersepit di bawah treler