Treler disambar api, pemandu lori rentung di Kemaman

Sharom Abu Bakar
Mac 9, 2020 12:13 MYT
Impak kemalangan itu menyebabkan treler berkenaan terbakar keseluruhannya. - Foto Astro AWANI
Seorang pemandu lori rentung selepas treler yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori muatan barang sebelum terbakar.
Nahas berlaku di kilometer 126 Jalan Jerangau-Jabor, di sini kira-kira jam 5.15 pagi Isnin.
Akibat kemalangan itu, mangsa Megat Razak Mat Jusoh, 53, maut di tempat kejadian.
Ketika kejadian, mangsa yang memandu treler muatan kayu bersama kelindannya dalam perjalanan dari arah Jerangau menghala ke Jabor.
Sejurus tiba di lokasi kejadian, sebuah lori yang dipandu lelaki berusia 38 tahun dikatakan hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan treler tersebut.
Impak kemalangan itu menyebabkan treler berkenaan terbakar keseluruhannya.
Mangsa yang berasal dari Kampung Bukit Perpat, Ajil, Hulu Terengganu itu tersepit dan terbakar di tempat duduk pemandu.
Manakala kelindannya, Megat Haniff Iqbal Megat Razak, 22, sempat menyelamat diri.
Ketua Zon Dua Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Azman Alias berkata sejurus menerima panggilan seramai 20 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Katanya pihaknya mengambil mangsa kira-kira 30 minit bagi mengawal kebakaran seterusnya mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan kejadian.
Katanya mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk dibedah siasat.
Katanya kes disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#Astro Awani #bomba #hilang #Jalan Jerangau-Jabor #kebakaran #kemalangan #lelaki #maut #mayat #Megat Razak Mat Jusoh #Nahas #pemandu treler rentung
;