Treler dengan muatan ammonium nitrat terlibat nahas
Abd Razak Mohd Ali
Februari 6, 2024 10:20 MYT
Februari 6, 2024 10:20 MYT
TAPAH: Dua buah treler terlibat dalam kemalangan di Kilometer 319.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah utara, laluan Tapah - Gopeng, di sini, pagi ini.
Sebuah lori membawa muatan ammonium nitrat manakala sebuah lagi muatan skru.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 6.41 pagi.
Katanya, kemalangan menyebabkan kedua-dua pemandu treler mengalami kecederaan ringan tetapi tidak tersepit.
Menurutnya, kedua-dua mangsa dirawat oleh anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) JBPM.
Menurutnya, Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh dikejarkan ke lokasi untuk mengawal keadaan.
Ekoran kemalangan itu, pihak polis mengeluarkan nasihat kepada pengguna lebuh raya.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd Naim Asnawi berkata, kenderaan yang hendak ke utara dikehendaki keluar di Tol Tapah mengikut jalan persekutuan menghala ke Kampar dan masuk semula ke Tol Gopeng.
Bagaimanapun katanya, kenderaan yang hendak ke selatan setakat ini boleh teruskan perjalanan seperti biasa.