Treler bawa muatan kereta terbabas ke laluan bertentangan di Lebuhraya PLUS

Astro Awani
Jun 7, 2016 17:39 MYT
Kemalangan berlaku selepas pemandu treler berkenaan dipercayai gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas memasuki laluan bertentangan. -Foto/Twitter Ikae
Satu kemalangan membabitkan treler membawa muatan kereta baharu dilaporkan berlaku sekitar jam 12.30 tengah hari di kilometer 421.7 arah utara di antara Bukit Beruntung dan Bukit Tagar.
Kenderaan baharu yang dibawa treler terbabit turut terjatuh di atas lebuh raya sehingga menyebabkan kesesakan teruk.
Menurut Pengurus Besar Bahagian PLUS, Norbayati Manap, kemalangan berlaku selepas pemandu treler berkenaan dipercayai gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas memasuki laluan bertentangan.
"Treler itu hilang kawalan lalu terbabas melanggar median dan masuk ke laluan arah selatan," kata Norbayati.
Katanya lagi, PLUS turut melakukan kerja penyelenggaraan bagi mengalihkan kenderaan yang menghalang kedua-dua laluan.
Sementara itu, syarikat pengendali lebuh raya itu turut melaporkan sebuah kenderaan dari arah selatan terbabas kerana cuba mengelak daripada melanggar treler berkenaan.
Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
PLUS memaklumkan kemalangan menyebabkan kesesakan lalu lintas sepanjang enam kilometer.
#Bukit Beruntung #Bukit Tagar #terbabas ke laluan bertentangan #treler bawa muatan kereta baharu
;