Treler bawa isopropyl alkohol terbakar dekat Kulai

Bernama
Julai 8, 2019 23:16 MYT
Sejurus pasukan bomba tiba, api didapati sedang marak membakar kenderaan terbabit namun, pemandunya selamat.
Sebuah treler membawa muatan 120 tong cecair isopropyl alkohol terbakar di Lebuhraya Utara-Selatan dekat Kulai, hari ini, namun pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Kulai, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fauzi Awang berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian di susur keluar ke pusat beli-belah Johor Premium Outlet (JPO) menghala Johor Bahru itu pada 7.10 malam.
"Seramai 16 anggota dari BBP Bandar Baru Kulai, BBP Kulai dan BBP Skudai bersama tiga jentera terlibat dalam operasi pemadaman kebakaran treler yang sedang dalam perjalanan dari Tuas, Singapura ke Ulu Tiram itu," katanya menerusi kenyataan, malam ini.
Mohd Fauzi berkata sejurus tiba, api didapati sedang marak membakar kenderaan terbabit namun, pemandunya, Mohd Zarul Azmizan Ismail, 31, selamat.
Beliau berkata operasi pemadaman tamat pada 8.45 malam, namun, punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
-- BERNAMA
#BBP Bandar Baru Kulai #BBP Kulai #BBP Skudai #bomba #isopropyl alkohol #kebakaran #Kulai #Lebuhraya Utara-Selatan #Mohd Fauzi Awang #operasi pemadaman #siasatan #terbakar #treler
;