Treler balak terbalik, pemandu hilang dalam tasik
Muhafandi Muhamad
April 22, 2021 21:29 MYT
April 22, 2021 21:29 MYT
GUA MUSANG: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas treler sarat dengan muatan balak dipandunya terbabas sebelum terbalik ke dalam tasik di Kilometer 47, Jalan Lojing-Gua Musang, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa yang masih belum dikenal pasti identitinya masih hilang di dalam tasik itu.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, ketika kejadian pemandu dipercayai berusia 30-an itu dalam perjalanan membawa muatan kira-kira 50 batang balak yang diambil tidak jauh dari tempat kejadian.
"Difahamkan muatan kayu balak ini diambil di Batu 30 untuk dibawa ke Kuala Betis bagi urusan timbang sebelum balik ke Ipoh.
"Sebaik tiba di kawasan kejadian pemandu treler berkenaan dipercayai hilang kawalan menyebabkan kenderaan itu terlanggar penghadang di tepi jalan sebelum terbalik bersama muatan ke dalam tasik.
"Mangsa masih lagi terperangkap (belum ditemui) di dalam tasik dan usaha untuk mengesan mangsa masih diteruskan oleh pihak bomba," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Mohd Arifuddin Akif Mohd Noor, berkata beliau bersama 10 anggotanya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira 2.15 petang.
"Kalau kita tengok keadaan sekitarnya kawasan berpaya iaitu takungan air di dua buah bukit. Jadi kita percaya mangsa berada berdekatan di kawasan lori tersebut dan kita akan tengok dan membuat pencarian lagi di bahagian tepi treler itu.
"Bagaimanapun, operasi mencari terpaksa ditangguhkan pukul 6.30 petang kerana hujan dan hari semakin gelap. Ia akan disambung semula pagi esok," katanya.
#treler balak
#terbalik
#pemandu hilang
#tasik
#Lojing
#Gua Musang
#lemas
#lelaki
#polis
#kayu balak