Treler bahan kimia terbalik, tiada bahan berbahaya dalam air, udara

Abd Razak Mohd Ali
September 26, 2019 04:57 MYT
JBPM Perak menjalankan kerja mengalirkan air ke dalam tangki treler yang terbalik di Kampung Parit Mentara 3, Bagan Serai, awal pagi ini. Foto ihsan JBPM Perak
Tiada bahan kimia berbahaya dikesan di dalam air dan udara selepas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak mengalirkan air ke dalam tangki sebuah treler yang terbalik di Kampung Parit Mentara 3 di sini pada Rabu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Mohamad Yunus Abu berkata, pihaknya beroperasi 24 jam bagi memantau keadaan.
Menurutnya, pihaknya telah mengalirkan air ke dalam tangki lori itu bagi memastikan cecair kimia terbabit berada dalam keadaan terlarut.
"Tindakan ini telah dipersetujui bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) bertujuan mengurangkan tahap nyalaan atau sambar terhadap bahan itu," katanya.
BACA: Tumpahan bahan kimia treler terbabas, empat keluarga terpaksa tumpang rumah jiran
Menurutnya, Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) JBPM telah menggunakan tiga kaedah untuk mengesan bahan kimia berbahaya di dalam air dan udara di kawasan berkenaan.
Tiga kaedah itu ialah kertas PH, GFG 450 dan kaedah Gasmed yang pernah digunakan ketika operasi di Sungai Kim Kim, Johor baru-baru ini.
Mohamad Yunus berkata, berdasarkan ujian kertas PH yang dijalankan sebanyak tiga kali, jelas tidak memberikan sebarang bacaan yang agak membimbangkan.
Selain itu, katanya, alat pengesan GFG 450 yang digunakan empat kali sehingga jam 4 pagi Khamis, juga tidak merekodkan sebarang bacaan .
Menurutnya, kaedah Gasmed yang digunakan juga menunjukkan tiada bacaan yang merbahaya di udara.
#bahan kimia #bahaya #operasi #parit #Perak #treler