'Travel bubble' zon hijau mampu bantu pulih sektor pelancongan - Nancy

Ridauddin Daud
November 17, 2020 17:52 MYT
Nancy Shukri menunjukkan Pelan Pemulihan Pelancongan bernilai RM200 juta. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR : Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menyambut baik keputusan kerajaan untuk mempertimbangkan cadangan membenarkan perjalanan antara 'zon hijau' dalam usaha membantu industri pelancongan ketika berdepan pandemik COVID-19.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sekiranya diluluskan, langkah itu akan memberi kelegaan kepada pemain industri yang kini semakin tertekan dengan situasi semasa.
“Sebelum ini kita dengar sahaja tapi kalau kita tak lakukan apa-apa, di mana lagi pemain industri pelancongan nak pergi dan minta bantuan.
“Kita perlu berfikir di luar kotak untuk mereka. Pertama sekali membenarkan travel bubble di zon hijau ke zon hijau di seluruh negara... tapi zon merah, perlu diperketatkan. Jangan benarkan mereka keluar.
“Untuk zon hijau, untuk mana-mana tempat dibenarkan. Itu satu keputusan besar untuk kerajaan dalam benarkan hotel dibuka, industri berkaitan juga dibuka,” katanya dalam sidang media di sini pada Selasa.
Tambah beliau, pihaknya juga sudah bersedia untuk melaksanakan gelembung perjalanan melibatkan negara lain.
Begitupun, katanya keputusan itu bukan di bawah bidang kuasa mereka dan pembukaan sempadan tidak hanya tertumpu kepada pelancongan tetapi elemen lain termasuk keselamatan rakyat.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan mengkaji kemungkinan membenarkan perjalanan rentas negeri antara zon hijau di negeri dikenakan PKPB untuk meningkatkan pelancongan domestik.
Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya diarah bekerjasama dengan kementerian serta agensi berkaitan untuk mengemukakan cadangan lebih terperinci.
#Nancy Shukri #pelancongan #sektor pelancongan #PKPB #rentas negeri #hotel #keselamatan #menteri #ismail sabri yaakob #melancong #bercuti #percutian #Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya #MOTAC
;