Trauma berulang setiap kali Ranau bergegar
Tan Su Lin
Mei 3, 2018 09:45 MYT
Mei 3, 2018 09:45 MYT
Tiga tahun sudah berlaku sejak gempa terburuk menggegarkan Ranau pada 2015, namun peristiwa hitam itu masih terpahat pada fikiran Abdul Wahab Mat Hakim, 72 tahun.
Pemilik sebuah hotel di Kundasang itu, menceritakan trauma yang sehingga kini masih tidak dapat dilupakan.
"Pagi itu saya sedang memberi arnab saya makan di luar bangunan hotel. Tiba-tiba terdengar bunyi seperti bongkah batu terjatuh dari arah Gunung Kinabalu dan terasa gegaran kuat.
"Ketika itu, semua pelawat saya yang masih tidur terkejut dan lari keluar dari bilik mereka dalam keadaan kelam kabut kerana seluruh bangunan 'bergoyang'.
"Gegaran masa itu sampai kenderaan pun boleh melompat-lompat macam lantunan bola keranjang. Sangat ngeri dan menakutkan.
"Selepas itu, saya ternampak asap debu naik dari kawasan gunung dan permukaan gunung itu kelihatan seperti 'dicakar'," katanya.
Pada 5 Jun 2015, Sabah dikejutkan dengan gempa bumi pada kekuatan 5.9 pada skala Richter yang berpusat di Ranau.
Insiden itu meragut 18 nyawa termasuk enam orang rakyat Malaysia dan sembilan warganegara Singapura.
Terbaharu gempa bumi sederhana sekali lagi menggegarkan daerah Ranau dengan magnitud 5.2 pada awal Mac lalu.
Namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Situasi itu bagaimanapun menimbulkan kerisauan Abdul Wahab ekoran kekerapan gegaran yang berlaku.
"Kundasang ini sentiasa ada gegaran. Dalam sebulan mungkin ada 2-3 kali gegaran kecil cuma kita tidak sedar.
"Penduduk Kundasang risau sebenarnya terlalu banyak gegaran berlaku," katanya.
Ujar pesara kerajaan itu, setiap kali gegaran berlaku, penduduk akan berkumpul di kawasan lapang dekat pekan.
"Sebenarnya kami pun tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Cuma setiap kali berlaku gegaran, kami akan segera berkumpul di kawasan lapang depan War Memorial Kundasang di pekan untuk mencari keluarga dan memastikan semua orang dalam keadaan selamat," katanya.
Justeru katanya perlu ada satu kursus khas bagi mempersiapkan penduduk setempat terhadap berulangnya insiden gempa.
Pada masa sama, dia juga berharap pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan berkala ke atas pergerakan tanah dan keselamatan bangunan khususnya di kawasan kaki gunung itu.
"Penduduk rasa susah hati melihat keadaan rumah yang tidak stabil. Kedudukan tanah juga nampak pergerakan sedikit 1 ke 2 inci dalam setahun," kata bekas jurutera Jabatan Kerja Raya itu.
Tinjauan penulis mendapati Kundasang masih menjadi kawasan tumpuan pelancong bagi menikmati suasana udara dingin dan pemandangan cantik di kaki Gunung Kinabalu.