'Trash4Cash' cara mudah tukar 'sampah' kepada wang
Bernama
Jun 24, 2024 14:10 MYT
Jun 24, 2024 14:10 MYT
NIBONG TEBAL: Pusat kitar semula pandu lalu automatik Trash4Cash yang pertama dibuka di Seberang Perai dekat sini, bukan sahaja bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai amalan kitar semula, malah orang ramai dapat memperoleh wang dengan mengumpulkan sampah.
Ringkasan AI
- Trash4Cash membuka pusat kitar semula pandu lalu automatik pertama di Seberang Perai, beroperasi 24 jam tanpa pekerja dan dilengkapi dengan kamera CCTV, lampu, kipas, dan Wi-Fi yang berfungsi menggunakan tenaga solar.
- Pengguna menulis nama dan nombor telefon atau mengimbas kod QR pada Smart Recycle Bin, memasukkan bahan kitar semula mengikut kategori, dan menunggu pengesahan serta pembayaran dalam talian selepas 48 jam proses verifikasi.
- Trash4Cash bertujuan membantu komuniti mengembalikan pembungkusan pasca pengguna untuk menjaga alam sekitar. Pusat ini juga terdapat di Selangor, Kuala Lumpur, Perak, dan Kedah, dengan kerjasama Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP). Pengguna boleh memperoleh antara RM15 hingga RM20 setiap bulan melalui inisiatif ini.
Berkonsepkan DIY (do it yourself) iaitu buat sendiri, inisiatif yang beroperasi 24 jam setiap hari tanpa pekerja itu dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV), lampu, kipas dan Wi-fi yang berfungsi menggunakan tenaga solar.
Ketua Pegawai Eksekutif Trash4Cash Shafreez Redza Mhd Saiful Anuar berkata pengguna hanya perlu menuliskan nama dan nombor telefon atau mengimbas kod QR pada Smart Recycle Bin untuk memberikan butiran mereka.
"Seterusnya pengguna perlu memasukkan bahan yang ingin dikitar semula ke dalam 'deposit bucket window' mengikut kategori yang disediakan di situ.
"Selepas bahan kitar semula dikutip, pihak kami akan membuat pengesahan dengan membuat panggilan, pemeriksaan dan timbangan bagi tujuan verifikasi, seterusnya pembayaran akan dibuat selepas 48 jam proses verifikasi dijalankan," katanya kepada Bernama.
Beliau ditemui pada Program Kempen Kesedaran Alam Sekitar Waste To Wealth di sebuah pasar raya di Sungai Bakap di sini yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri Jason H'ng Mooi Lye, baru-baru ini.
Shafreez Redza berkata bayaran bagi bahan kitar semula itu dibuat secara dalam talian dan visi Trash4Cash adalah untuk membantu komuniti mengembalikan pembungkusan pasca pengguna mereka sebagai langkah ke arah menjaga alam sekitar dengan lebih efektif.
Selain Pulau Pinang, katanya pusat kitar semula pandu lalu automatik milik syarikat itu juga diwujudkan di Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Kedah.
"Kita bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk tempatkan pusat kitar semula pandu lalu automatik yang pertama di negeri ini dan berdasarkan rekod negeri lain, seorang pengguna boleh memperoleh antara RM15 hingga RM20 setiap bulan menerusi inisiatif pusat kitar semula tersebut.
Kadar ditetapkan mengikut harga pasaran semasa antaranya 10 sen bagi satu kilogram kertas campur, kertas hitam/putih (30 sen/kg), surat khabar lama (35 sen/kg), minyak masak terpakai (RM2.70/kg), tin aluminium (RM2.30/kg), bateri kenderaan (50 sen/kg) dan sisa elektronik campur (20 sen/kg).
-- BERNAMA