Transparency International puji SPRM bongkar kes seludup
Astro Awani
September 5, 2014 17:18 MYT
September 5, 2014 17:18 MYT
Transperancy International Malaysia (TI-M) memuji kejayaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar sindiket penyeludupan melibatkan pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan menggesa usaha itu terus dipertingkatkan dengan pendekatan yang baru.
Presidennya, Datuk Akhbar Satar berkata serbuan ke atas pusat jualan barangan seludup seperti yang dilakukan selama ini tidak akan menyelesaikan masalah.
"Sekiranya negara ini mahu menghentikan penyeludupan dan tidak hanya menghalang isu besar ini secara retorik, ia mesti mengambil pendekatan yang analitikal tentang apa yang menggalakkan penyeludup dan bagaimana mereka memindahkan barangan haram itu dalam jumlah yang besar dengan mudah," katanya dalam satu kenyataan.
SPRM pada Rabu menahan 24 individu termasuk 12 pegawai kastam pelbagai pangkat, seorang daripadanya Pengarah Kastam Negeri, yang dipercayai terlibat dalam sindiket penyeludupan di Lembah Klang melibatkan kerugian lebih RM2 bilion.
SPRM turut membekukan 207 akaun bank milik individu dan syarikat serta menyita 10 kenderaan mewah yang disyaki hasil wang rasuah.
Operasi itu adalah hasil intipan selama setahun melibatkan antaranya Polis Di-Raja Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan CyberSecurity.
Sindiket itu dilapor menyalahgunakan kemudahan dan insentif Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dan menyeludup barang seperti rokok dan arak tanpa membayar duti kastam.
Kastam dalam kenyataan pada Khamis memberi jaminan kerjasama penuh kepada siasatan SPRM. Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata pihaknya tidak akan melindungi sebarang maklumat atau individu yang disyaki terlibat.