TransKoM 2021-2025 pemacu pembangunan koperasi - Perdana Menteri
Fareez Azman
Mac 30, 2021 16:56 MYT
Mac 30, 2021 16:56 MYT
KUALA LUMPUR: Pelan Transformasi Koperasi Malaysia 2021-2025 (TransKoM) yang dilancarkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada Selasa adalah langkah terbaik untuk menjadi paksi transformasi gerakan koperasi di negara ini.
Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pelan itu dapat memacu pembangunan koperasi yang lebih progresif dan berdaya saing sekali gus memberi manfaat kepada sosioekonomi rakyat.
"Saya yakin pelan ini yang telah menggariskan sebanyak lima bidang tujahan, 20 langkah strategik dan 36 program serta aktiviti akan menjadi pemacu kepada pembanguan koperasi yang lebih progresif dan berdaya saing.
"Ia seterusnya akan menjamin kelangsungan sektor koperasi negara sebagai penyumbang terbesar kepada peningkatan sosioekonomi dan kesejahteraan masyarakat di negara ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian TransKoM di ibu negara pada Selasa.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, TransKoM juga dijangka dapat memberi manfaat kepada lebih 6.1 juta anggota gerakan koperasi di negara ini.
"Sehubungan itu, saya ingin menyeru semua pihak yang terlibat dalam pembangunan sektor koperasi terutamanya Suruhanjaya Koperasi Malaysia (Angkasa) serta gerakan koperasi agar memberikan kerjasama dan komitmen yang padu.
"Saya mahu kesemua 14,668 koperasi yang berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia menjadi aktif dalam perniagaan koperasi untuk sama-sama meningkatkan prestasi ekonomi negara.
"Koperasi-koperasi yang tidak aktif dan dorman harus bangkit dan bersama-sama menjadi agen transformasi koperasi Malaysia," katanya lagi.
#Perdana Menteri
#Muhyiddin Yassin
#TransKoM
#Pelan Transformasi Koperasi Malaysia
#Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi
#gerakan koperasi
#pembangunan